Presiden Iran, Masoud Pezeshkian buka babak baharu

Pezeshkian dijadualkan mengangkat sumpah jawatan pada 30 Julai ini.
Pezeshkian dijadualkan mengangkat sumpah jawatan pada 30 Julai ini.
A
A
A

TEHERAN - Pemilihan mengejut calon reformis, Masoud Pezeshkian sebagai Presiden baharu Iran menerusi pusingan kedua bagi menggantikan Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter membuktikan rakyat menyokong pemimpin itu atas dasar keperibadian dan pandangan berbeza politik beliau.

Bekas Menteri Kesihatan itu mempamerkan sisi calon yang berkaliber menerusi sesi debat calon Presiden malah beliau bersungguh-sungguh meyakinkan rakyat untuk menyatukan semula negara selepas ia berpecah-belah di peringkat domestik dan antarabangsa.

Populariti yang diraih Pezeshkian, 69, secara berterusan sedikit sebanyak membantu beliau menggunakan pengaruh itu untuk menewaskan pesaingnya dalam persekitaran politik 'berpuak' di Teheran.

Bekas pakar bedah jantung itu turut berdepan tugas sukar untuk mendapatkan sokongan menyeluruh di negara yang berpopulasi kira-kira 88.55 juta orang tersebut.

Jumlah peratusan penduduk keluar mengundi yang berada di tahap kedua terendah dalam sejarah Pilihan Raya Presiden Iran menunjukkan ramai rakyat masih skeptikal tentang ahli politik Teheran.

Tragedi yang menimpa kehidupan peribadi Pezeshkian dikatakan telah membentuk dirinya pada hari ini.

Kepetahan Pezeshkian ketika membentangkan hujah semasa sesi debat bersama calon pilihan, Saeed Jalili telah meraih sokongan rakyat.
Kepetahan Pezeshkian ketika membentangkan hujah semasa sesi debat bersama calon pilihan, Saeed Jalili telah meraih sokongan rakyat.

Beliau pernah berdepan detik hitam apabila kehilangan isteri dan anak lelaki bongsunya dalam nahas jalan raya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Tabriz, kira-kira tiga dekad lalu.

Artikel Berkaitan:

Pemergian kedua-dua insan terpenting dalam hidupnya terus memberi kesan kepada beliau sehingga kini.

Sebagai bukti, Pezeshkian tidak pernah berkahwin lagi malah dia rela membesarkan tiga anaknya yang lain sebagai bapa tunggal.

Anak perempuannya, Zahra menjadi penyokong kuat beliau apabila menemaninya ketika mendaftarkan diri sebagai calon Presiden, baru-baru ini.

Pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Kimia itu turut dianggap sebagai penasihat politik kepada bapanya.

Menariknya tentang Pezeshkian, beliau berkebolehan bertutur dalam banyak bahasa seperti Kurdish, Azeri dan Arab.

Ketika sesi perbahasan disiarkan stesen TV, beliau menunjukkan kemahiran berbahasa Inggeris dengan baik apabila dengan lancar menyebut tentang petikan kata-kata terkenal ahli fizik teori Jerman, Albert Einstein, 'takrifan 'kegilaan' adalah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan keputusan yang berbeza.'

Pemilihan pada kali ini adalah cubaan kedua beliau untuk merebut jawatan Presiden setelah Pezeshkian pertama kali terjun ke dalam bidang politik pada 2006 sebagai Ahli Parlimen Tabriz.

Pejuang hak kumpulan etnik

Pezeshkian terkenal dengan lidah yang tajam apabila bercakap tentang pelbagai isu panas termasuk korupsi.

Ada pihak menggelarnya sebagai 'ejen Barat' berikutan pemimpin itu lebih bersifat terbuka untuk memulihkan semula dan menjalinkan hubungan dengan 'musuh' Iran.

Antara cabaran lain Pezeshkian adalah untuk 'menyesuaikan diri' dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang menjadi aset penting untuk pertahanan Teheran.

Beliau dilahirkan pada 29 September 1954 di Mahabad, sebuah bandar di wilayah Azerbaijan Barat yang didiami komuniti besar etnik minoriti Azeri dan Kurdish.

Sejak dari awal, Pezeshkian secara lantang menyokong hak kumpulan etnik sebagai cara untuk menyatukan negara.

Pada usia 19 tahun, beliau pernah terlibat kerahan tenaga di Zabul, sebuah bandar serba kekurangan di Sistan dan Balochistan yang mana pengalaman tersebut menjadi titik tolak kepada kebangkitan politiknya.

Beliau kemudiannya kembali ke bandar kelahirannya untuk memulakan latihan perubatan dan berkhidmat sebagai doktor serta pejuang ketika Perang Iran-Iraq.

Selepas peperangan berakhir, beliau menjadi pakar kardiologi dan pembedahan jantung di Universiti Sains Perubatan Tabriz dan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pentadbir kampus berkenaan.

Puak penentang menggambarkan beliau sebagai kesinambungan kerajaan tidak popular bekas Presiden Hassan Rouhani, namun pemimpin itu tidak pernah berkhidmat di bawah penggal perkhidmatannya.

Sebaliknya, beliau dilantik menjadi Menteri Kesihatan antara 2001 dan 2005 semasa pentadbiran bekas Presiden, Mohammad Khatami.

Pezeshkian pernah bertanding pemilihan Presiden pada 2013 dan 2021, namun cubaan kedua beliau disekat Majlis Penjaga yang bertindak tegas menapis senarai calon.

Selain memulihkan ekonomi, matlamat utama beliau adalah untuk menyelesaikan isu antarabangsa bagi membawa keluar Iran daripada pengasingan antarabangsa selama hampir sedekad. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!