Modal berbayar RM500,000 beri impak berbeza penipuan pakej umrah

Foto hiasan. Gambar kecil dari kiri: Nursyafiqah, Md Daud
Foto hiasan. Gambar kecil dari kiri: Nursyafiqah, Md Daud
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan umrah mempunyai pandangan berbeza terhadap syarat baharu kerajaan yang menetapkan modal berbayar syarikat baharu minimum sebanyak RM500,000.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, ketetapan itu mampu mengurangkan kes-kes penipuan daripada agensi pelancongan kecil yang banyak menimbulkan masalah disebabkan dana kewangan terhad.

Menurutnya, kebanyakan syarikat kecil hanya bergantung kepada kepakaran dan kebiasaan tanpa modal kewangan yang besar untuk menampung sebarang perkara luar jangka sehingga menyebabkan bakal jemaah menjadi mangsa.

“Pada dasarnya, saya bersetuju. Kita tak mahu syarikat-syarikat pelancongan kecil menimbulkan masalah..sebab mereka ini selalu bermasalah dengan jemaah disebabkan tak ada duit yang mencukupi untuk buat tempahan tiket kapal terbang misalnya.

“Sebab itu syarikat kami bila buat perjanjian dengan syarikat penerbangan, biasanya letak (deposit) RM2 juta hingga RM10 juta...jadi tidak ada masalah dan tidak timbul keraguan kita tidak mampu nak bayar balik.

“Perlaksanaan ini bagus tapi bilangan syarikat kecil yang boleh tawarkan perkhidmatan umrah akan berkurangan sebab perlu bayar jaminan duit yang tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing dalam jawab lisan di Dewan Rakyat baru-baru ini berkata, kerajaan telah mengambil tindakan susulan berkenaan kes penipuan umrah dan antara syarat baharu yang bakal diperkenalkan serta dikuatkuasakan adalah penyediaan jaminan bank bernilai RM200,000 oleh syarikat pengendali umrah selain modal berbayar syarikat baharu pengendali umrah ditetapkan minimum RM500,000.

Sementara itu, Pengasas Umrah4ladies By MK Haramain Travel & Tours, Nursyafiqah Zamani berbeza pandangan apabila menyifatkan kenaikan modal kepada RM500,000 tiada kaitan untuk menyelesaikan masalah penipuan umrah kerana kebanyakan kes penipuan daripada syarikat pelancongan yang sudah berdaftar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, banyak syarikat gagal melaksanakan apa yang dijanjikan disebabkan masalah peribadi syarikat itu sendiri.

“Syarikat baharu yang berniat nak mendaftar akhirnya akan kekal tidak berdaftar disebabkan syarat modal yang tinggi. Seterusnya akan terus menjual pakej umrah tanpa lesen dan memberi ruang lebih banyak kes penipuan umrah,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!