Sepanyol pasukan terbaik dunia - de la Fuente
LUIS de la Fuente percaya Sepanyol telah mengesahkan status mereka sebagai antara pasukan terbaik di dunia selepas kemenangan 2-1 ke atas England pada perlawanan akhir Euro 2024 pada awal pagi Isnin.
Mikel Oyarzabal muncul wira La Roja apabila dia menjaringkan gol kemenangan empat minit sebelum tamat dalam aksi penuh dramatik di Olympiastadion.
Sepanyol menjadi pasukan pertama dalam sejarah Kejohanan Eropah yang menjulang piala Henri Delaunay dengan kejuaraan sebanyak empat kali selain memenangi kesemua tujuh perlawanan mereka di Jerman.
De la Fuente melengkapkan treble kejayaan Kejuaraan Eropah, setelah turut membimbing Sepanyol untuk mencapai kejayaan di peringkat bawah 19 dan bawah 21 tahun.
Beliau memberikan penghormatan kepada pemainnya yang berjaya merealisasikan trofi antarabangsa pertama mereka sejak Euro 2012.
"Saya tidak boleh lebih gembira daripada sekarang. Melihat peminat dan pemain meraikannya. Kami pasukan sebenar dan juara Eropah.
"Saya berkata saya bangga, dan hari ini saya lebih bangga. Ia telah mengesahkan siapa kami. Bagi saya, mereka (pemain) adalah yang terbaik di dunia, dan hari ini saya mengesahkan definisi itu," katanya.
Bagaimanapun, De la Fuente tahu masih banyak lagi yang perlu diharungi pasukannya dan tidak sabar untuk memenangi lebih banyak kejuaraan.
“Selalu ada ruang untuk penambahbaikan dan itu menjadi matlamat kami yang jelas.
"Kebaikan pasukan ini ialah kami sentiasa mahu kehadapan dan pemain-pemain ini sangat bagus," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!