Lelaki bergelut elak beg silang diragut

Seorang lelaki yang cuba meragut beg penunggang motosikal berjaya ditahan. Gambar hiasan
Seorang lelaki yang cuba meragut beg penunggang motosikal berjaya ditahan. Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki ditahan ketika cuba meragut beg penunggang motosikal selepas berlaku pergelutan dengan mangsa dalam kejadian di Sikamat di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, 39, turut dibantu orang awam yang mendengar jeritannya sebelum suspek yang berusia 46 tahun itu ditahan dan diserahkan kepada polis.

"Ketika kejadian mangsa sedang menunggang motosikal di sebuah kawasan perumahan di Sikamat, didatangi suspek yang juga menunggang motosikal dan cuba meragut beg silangnya.

"Mangsa kemudiannya menjerit meminta tolong serta cuba menghalang tindakan suspek lalu berlaku pergelutan antara mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujarnya, hasil bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian telah berjaya menahan suspek dan menyerahkan suspek kepada pihak polis.

"Suspek merupakan penduduk tempatan dan mempunyai 13 rekod lampau melibatkan jenayah samun, mendatangkan kecederaan, perbuatan khianat dan dadah.

Katanya, suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

"Dengan tertangkapnya suspek dalam kes ini pihak polis percaya telah dapat menyelesaikan beberapa kes ragut yang menyasarkan mangsa sedang berjalan kaki dan menunggang motosikal di sekitar kawasan daerah Seremban.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menyalurkan sebarang maklumat kejadian jenayah supaya kejadian jenayah dapat ditangani dengan kadar segera," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!