Bersatu heret 6 ahli Parlimen, ADUN sokong PM ke mahkamah

Mohamed Azmin semasa berucap pada Himpunan Rakyat Bantah Keputusan Speaker Parlimen di sebuah hotel di sini, pada malam Ahad.
Mohamed Azmin semasa berucap pada Himpunan Rakyat Bantah Keputusan Speaker Parlimen di sebuah hotel di sini, pada malam Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju mengambil tindakan undang-undang berdasarkan peruntukan perlembagaan terhadap enam bekas ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu tidak sesekali 'mengalah' walaupun Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San mencemar perlembagaan Persekutuan dan negeri.

"Kita akan heret mereka ke muka pengadilan untuk diputuskan oleh mahkamah.

"Saya percaya mahkamah akan membuat keputusan terbaik berdasarkan kepada perlembagaan dan undang-undang," katanya ketika berucap pada Himpunan Rakyat Bantah Keputusan Speaker Parlimen di sebuah hotel di sini, pada Ahad malam.

Beliau memberitahu, semakan di peringkat mahkamah itu dibuat bagi memastikan mereka mengosongkan kerusi seterusnya memulangkan semula mandat rakyat untuk diadakan pilihan raya kecil (PRK).

"Kepada (Ahli Parlimen Tanjong Karang) Dr Zulkafperi Hanafi, kalau kamu ada maruah, tolong kosongkan kerusi ini sebelum mahkamah membuat keputusan.

"Kamu menang kerana rakyat dan jentera di bawah yang bekerja dan membantu kamu, namun apabila diberikan sedikit kuasa, kamu khianat kepada parti.

"Kamu tidak tunduk kepada amanah rakyat, maka tanggungjawab kami untuk mengheret kamu ke muka pengadilan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor menegaskan, kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri Selangor sedang berdepan krisis perlembagaan yang teruk.

"Tanggungjawab kita adalah untuk mempertahankan perlembagaan dan mempertahankan undang-undang negara dan negeri.

"Tetapi apa yang berlaku sebahagian ahli Parlimen, ADUN termasuk Speaker Dewan Rakyat dan Speaker DUN, mereka bukan penjaga kepada perlembagaan tetapi telah menodai dan mengambil keputusan bercanggah dengan undang-undang negara dan negeri Selangor," jelas beliau.

Katanya, kerajaan Persekutuan dan negeri Selangor secara jelas melanggar undang-undang hanya untuk memastikan mereka terus berkuasa.

"Rakyat di seluruh negara perlu bangkit kerana kalau kerajaan tidak berlandaskan undang-undang dan negara hukum, mana mungkin rakyat di bawah mendapat keadilan dan pembelaan

"Apa yang dilakukan kerajaan ini bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang," tambah Mohamed Azmin.

Sebelum ini, enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan perkara itu dimaklumkan Johari menerusi surat bertarikh 10 Julai.

Sehari kemudian, Weng San mengumumkan tiada kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari.

Menurutnya, pemberhentian keahlian ADUN Selat Klang dalam Bersatu didapati sebagai satu pemecatan terancang di bawah operasi Perkara LXVA 2(c) Perlembagaan Negeri Selangor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!