MOTAC anjur Festival Boria Pulau Pinang semarak industri pelancongan

Objektif utama penganjuran Festival Boria Pulau Pinang adalah untuk menyemarakkan industri pelancongan menerusi kegiatan seni budaya dan warisan setempat.
Objektif utama penganjuran Festival Boria Pulau Pinang adalah untuk menyemarakkan industri pelancongan menerusi kegiatan seni budaya dan warisan setempat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang menganjurkan Festival Boria Pulau Pinang pada 12 hingga 14 Julai di Seberang Perai Arena, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

JKKN dalam satu kenyataan berkata, objektif utama program menyemarakkan industri pelancongan menerusi kegiatan seni budaya dan warisan setempat.

Menurutnya, pemilihan kesenian boria bertepatan dengan matlamat JKKN untuk terus memelihara dan menyemarakkan kesenian tempatan Pulau Pinang kepada semua lapisan masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda.

“Festival ini juga sudah pasti dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan produk yang menyokong pembangunan budaya masyarakat serta memberi daya tarikan pelancong dengan aktiviti seni dan budaya serta warisan kraf setempat.

“Festival Boria kali ini merupakan penganjuran kali kelima oleh JKKN. Uniknya Festival Boria kali ini, pengunjung berpeluang menikmati persembahan 11 buah kumpulan boria yang masih aktif di Pulau Pinang,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Dalam pada itu, JKKN memaklumkan, program itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Pulau Pinang dan Persatuan Seni Kreatif Budaya Warisan Estetik Pulau Pinang (Sekenit).

Tambah kenyataan itu, Festival Boria kali ini turut mendapat sokongan daripada syarikat penajaan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Cititel, Sunway Hotel & Resorts dan Penang Hill Corporation.

Mengulas mengenai festival itu, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, idea penggabungan dua program iaitu festival boria dan kraf memberikan impak positif kepada hasil jualan produk kraftangan tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Pengusaha kraftangan tempatan mendapat peluang untuk memasarkan produk kraf mereka kepada dua sasaran khalayak iaitu para peminat kraftangan sekaligus memberikan pendedahan berkaitan seni kraftangan kepada peminat seni persembahan khususnya boria di Pulau Pinang.

“Sementara itu, peminat kraftangan dapat menghayati persembahan boria yang merupakan seni warisan budaya tradisional di Pulau Pinang,” ujarnya.

Antara pengisian lain bersempena festival ini ialah pertandingan boria kategori cilik dan terbuka.

Sebanyak lapan buah kumpulan boria telah bertanding bagi kategori cilik dari sekolah rendah di Pulau Pinang dengan jumlah penglibatan 120 orang peserta dan enam kumpulan boria yang bertanding bagi kategori terbuka.

Ia melibatkan sekolah menengah dan institut pengajian tinggi (IPT) dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!