'Bersatu tak pecat, sebaliknya keahlian mereka terhenti' - Muhyiddin

Muhyiddin bergambar bersama-sama kepimpinan Bersatu dan ahli parti itu yang hadir pada Himpunan Rakyat Bantah Keputusan Speaker Parlimen di Glass V1 Boutique Hotel pada Ahad.
Muhyiddin bergambar bersama-sama kepimpinan Bersatu dan ahli parti itu yang hadir pada Himpunan Rakyat Bantah Keputusan Speaker Parlimen di Glass V1 Boutique Hotel pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Enam bekas Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan dipecat, sebaliknya keahlian mereka terhenti serta-merta.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan mereka yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas melanggar perlembagaan parti berkenaan.

"Istilah yang digunakan bukan dipecat, disingkir atau dibuang tetapi kerana tindakan mereka itu menyebabkan keahlian terhenti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Rakyat Bantah Keputusan Speaker Parlimen di Glass V1 Boutique Hotel di sini pada Ahad malam.

Muhyiddin berkata, Bersatu melakukan tindakan itu mengikut aturan yang betul dengan meminda perlembagaan selaras dengan peruntukan Akta Anti Lompat Parti.

Sehubungan itu, tegas beliau, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Selangor sepatutnya mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK) diadakan seperti apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Neggiri, Kelantan.

Menurut Muhyiddin, kepimpinan dan pengurusan sesebuah parti lebih mengetahui perkara berkaitan ahlinya.

"Siapa yang lebih tahu status keahlian, sudah tentu parti kerana Speaker tidak mengetahuinya.

Artikel Berkaitan:

"Apabila dimaklumkan bahawa mereka tidak lagi ahli Bersatu, tugas Speaker ialah mengumumkan pengosongan kerusi dan memaklumkan kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk diadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari," jelas beliau.

Bagaimanapun, ujar beliau, perkara itu tidak berlaku dan keputusan Speaker dianggap janggal dan tidak berperlembagaan.

"Sebelum ini, mereka bertanding atas nama parti atau PN (Perikatan Nasional) dan perlu berpegang kepada ikrar yang dibuat ketika menjadi calon pilihan raya.

"Alasan mereka tidak mendapat peruntukan, saya dan lain juga tiada (peruntukan), tetapi kami kekal istiqamah dan tidak menyokong Anwar," jelas beliau.

Dalam pada itu, Muhyiddin dalam nada berseloroh mendakwa bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar tidak mahu menjadi calon Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menjadi punca kepada isu di Parlimen berkenaan.

"Salahnya adalah Noh kerana saya telah mencadangkan beliau untuk bertanding (pilihan raya) sebelum ini.

"Beliau ketika itu enggan kerana belum menjadi ahli Bersatu, kalau tidak kerusi ini terus kekal milik Bersatu, tetapi tak apa, beliau (Noh) kini sudah ahli kita," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!