Faris sasar satu trofi bersama TFC
PEMAIN sayap sensasi Terengganu FC (TFC), Muhamad Faris Ramli menyasarkan sekurang-kurangnya satu trofi bersama skuad baharunya musim ini.
Baginya skuad kendalian ketua jurulatih muda Nafuzi Zain itu memiliki potensi juara namun sering kali nasib tidak menyebelahi mereka sekali gus meranapkan impian untuk menjulang sebarang kejuaraan di Liga Malaysia (Liga-M).
"Saya sudah bermain selama lima musim di Liga-M dan akui TFC memang satu pasukan yang bagus serta memiliki reputasinya tersendiri.
"Cuma mungkin mereka belum bertuah untuk memenangi sebarang juara seperti tahun 2018 walaupun mereka sudah mara ke peringkat akhir Piala Malaysia dan hampir memenangi piala berkenaan daripada Perak," katanya ketika dihubungi pemberita semalam.
Pemain yang berasal dari Singapura itu ialah pemain pertama yang diikat TFC untuk musim ini bagi mengisi kuota import Asean.
Sebelum menyertai skuad Penyu, pemain kebangsaan Singapura itu pernah mewakili pasukan seperti LionsXlll, Young Lions, PKNS FC dan terakhir, Hougang United FC.
Dalam pada itu, Muhamad Faris berkata, dia menerima tawaran berhijrah ke Terengganu kerana terkesan dengan kesungguhan ditunjukkan Nafuzi.
Menurutnya, TFC ialah kelab pertama menghubunginya walaupun selepas itu terdapat beberapa pasukan lain di Liga-M menyatakan minat sama menggunakan khidmatnya.
"Ketua jurulatih, Nafuzi memang nak sangat saya datang dan beliau secara peribadi berhubung dengan saya untuk bincang.
"Sebelum datang ke sini (Terengganu) saya menyaksikan banyak perlawanan TFC untuk melihat corak permainan diterapkan dan ia menepati citarasa saya," kata pemain yang berusia 28 tahun itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!