GCS mohon tempoh fleksibel rehabilitasi ungka

Proses rehabilitasi dan pengenalan semula primat seperti ungka adalah rumit dan sering memerlukan lebih banyak masa berbanding spesies lain.
Proses rehabilitasi dan pengenalan semula primat seperti ungka adalah rumit dan sering memerlukan lebih banyak masa berbanding spesies lain.
A
A
A

SHAH ALAM - Gibbon Conservation Society (GCS) berharap pihaknya diberi tempoh masa fleksibel untuk rehabilitasi yang disesuaikan dengan keperluan setiap ungka di pusat itu.

GCS dalam satu kenyataan berkata, ia bagi membolehkan pusat tersebut meneruskan kerja rehabilitasi dengan lebih efektif setelah diberi permit oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Kami berterima kasih dan menghargai pemberian permit bersyarat yang kini membolehkan kami meneruskan usaha rehabilitasi ungka secara sah. Bagaimanapun, kami ingin menekankan bahawa permit ini disertakan dengan syarat yang mana GCS perlu merehabilitasi ungka jagaan kami dalam tempoh lima tahun dan melepaskan mereka ke alam liar.

"Jika gagal, ungka tersebut mesti dikembalikan kepada Perhilitan. Syarat ini mungkin menimbulkan cabaran kepada misi GCS yang bertujuan untuk merehabilitasi ungka dengan jayanya dan mengembalikan mereka ke habitat semula jadi," katanya pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, dalam laporan International Union for Conservation of Nature (IUCN) Best Practice Guidelines for the Rehabilitation and Translocation of Gibbons, proses rehabilitasi dan pengenalan semula primat seperti ungka adalah rumit dan sering memerlukan lebih banyak masa berbanding spesies lain.

Ujarnya, perjalanan pemulihan setiap ungka adalah unik dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti kesihatan, keadaan psikologi dan pengalaman trauma akibat pengurungan atau kemusnahan habitat.

"Pelepasan ungka matang penting untuk memastikan kelangsungan hidup mereka dan integrasi ke dalam alam liar. Ungka biasanya mencapai kematangan antara enam hingga tujuh tahun, manakala untuk Siamang kematangan dicapai antara tujuh hingga sembilan tahun.

"Pelepasan ungka yang belum matang bukanlah pilihan praktikal kerana ia boleh menyebabkan kegagalan dalam pengenalan semula serta mengulangi isu yang telah didokumentasikan oleh Bennett pada 1992 berkenaan Semenggoh Wildlife Centre di Sarawak, yang mana pelepasan awal mengakibatkan kadar kematian dan kegagalan yang tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut kajian kes Semenggoh antara Oktober 1976 hingga Jun 1988, Pusat Rehabilitasi Hidupan Liar di Hutan Simpan Semenggoh yang diuruskan Pejabat Taman Negara dan Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak telah menerima 122 ekor ungka yang dirampas atau diserah oleh orang awam.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, 87 ekor ungka telah dilepaskan semula namun kadar kelangsungan hidup ungka yang dibebaskan itu tidak diketahui sehingga kajian penting pada 1988 di Semenggoh mendedahkan satu realiti menyedihkan.

"Dianggarkan 90 peratus ungka yang dilepaskan mati tidak lama selepas pengenalan semula ke habitat semula jadi. Hasil kajian ini menekankan kepentingan mematuhi garis masa pemulihan dan piawaian kriteria pelepasan.

"Pengenalan semula yang berjaya bagi ungka memerlukan mereka membentuk unit keluarga yang stabil dan memenuhi kriteria pelepasan spesifik seperti pergerakan brakiasi, masa minimum di tanah, sosialisasi, nyanyian dan duet, bajet aktiviti tepat, tingkah laku stereotipik minimum serta melahirkan anak," katanya.

Sementara itu, ujar GCS, menyerahkan ungka belum memenuhi kriteria pelepasan kepada Perhilitan dalam tempoh lima tahun pula akan menjejaskan perkembangan yang dicapai semasa proses rehabilitasi serta menjejaskan kebajikan haiwan itu.

Menurutnya, ungka-ungka berkenaan sering mengalami trauma yang signifikan dan memerlukan penjagaan khusus berterusan untuk memastikan pemulihan haiwan berkenaan.

"Menyerahkan ungka di bawah jagaan kami secara paksa kepada fasiliti kerajaan akan mengganggu proses pemulihan dan meningkatkan risiko tekanan serta proses penyesuaian selanjutnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!