Ahli Parlimen pembangkang ikat reben putih tanda protes, simbol 'reformati'
KUALA LUMPUR - Semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengenakan lilitan reben putih di lengan kiri sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung kerusi enam bekas wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) sebelum mengajukan soalan kedua, beliau menerusi pantun empat kerat menjelaskan, reben tersebut sebagai protes atas 'reformati' dengan merujuk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
"Reben putih di lengan kiri, sebagai protes berlakunya 'reformati’, spesifik merujuk kepada 49A (Perlembagaan).
"Soalan Masjid Tanah telah diberi, mohon jawapan yang berhormat menteri," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Johari memutuskan tidak mengosongkan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu disahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi surat yang diterima daripada Johari yang mengekalkan status Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) sebagai wakil rakyat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!