Mohd Yusri mula tugas sebagai Pengarah JSPT Bukit Aman

Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana pangkat disaksikan Razarudin di Bukit Aman, pada Isnin.
Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana pangkat disaksikan Razarudin di Bukit Aman, pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri secara rasminya memulakan tugas sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman baharu, pada Isnin.

Mohd Yusri menggantikan Timbalan Pengarah JSPT 1, Datuk Mohd Nasri Omar yang ditugaskan memangku jawatan berkenaan selepas persaraan Datuk Azman Ahmad Sapri pada 8 April lalu.

Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana pangkat itu disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Bukit Aman, pada Isnin.

Razarudin berkata, beliau yakin pengalaman serta pengetahuan luas Mohd Yusri akan memacu JSPT ke arah perkhidmatan yang cemerlang dan berintegriti tinggi.

"Pucuk pimpinan pasukan meletakkan harapan tinggi kepada Pengarah JSPT untuk memastikan jabatan ini sentiasa pada tahap dan landasan yang betul serta mengekalkan momentum pencapaian cemerlang," katanya dalam ucapan pada majlis tersebut.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Razarudin berkata, beliau berharap Mohd Yusri sentiasa peka dan cakna terhadap hal kebajikan termasuk keperluan penugasan warga JSPT di lapangan terutama dari aspek logistik, peralatan, kemahiran serta latihan.

"Adanya keseimbangan keperluan tugas dan kebajikan, ia akan mengaspirasikan JSPT ke arah jabatan lebih unggul, mampan dan holistik dalam menjamin kesejahteraan pengguna jalan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, JSPT memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.

"JSPT bertanggungjawab memastikan pergerakan lalu lintas khususnya di bandar utama semasa waktu puncak dan ketika musim perayaan, selamat serta lancar

"JSPT juga memainkan peranan penting mendidik masyarakat mengenai cara pemanduan selamat bagi mengelak kemalangan jalan raya dan kehilangan nyawa," ujarnya.

Beliau berkata, pasukan itu perlu sentiasa komited menguatkuasakan operasi secara konsisten, tegas dan berintegriti bagi merealisasikan matlamat berkenaan.

"Setinggi-tinggi harapan saya kepada warga JSPT bahkan seluruh warga Polis Diraja Malaysia untuk melaksanakan tugas dan memberi perkhidmatan bertunjangkan integriti, tatakelola baik serta mendukung kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!