Bapa ‘korban’ RXZ demi anak sulung

A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bapa sanggup mengorbankan motosikal Yamaha RXZ kesayangannya demi anak sulung yang bakal dilahirkan pada bulan November ini.

Menurut Muhammad Farees Muhammad, 27, dia rela menjualnya untuk membeli kereta baharu mengikut kehendak isterinya.

Katanya lagi, ia akan memudahkan pergerakan mereka selepas menimang cahaya mata pertama.

“Tukar kereta apa dapat. Duit tiada nak beli kereta.

“Bulan 11 anak sulung keluar (dilahirkan). Tak kisah kereta apa sekali pun. Ikut suka isteri, dia nak kereta macam mana.

“Biar dia yang pilih, saya ikut saja,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Muhammad Farees yang bekerja sebagai pemandu Forklift berkata, motosikal itu sukar dilepaskan kerana ia satu-satunya harta daripada hasil titik peluh bekerja selama ini.

Ujarnya, dia mempunyai kereta mampu milik hasil menjual burung macaw parrot miliknya.

Artikel Berkaitan:

“Saya nak menjual motor RXZ ini kerana ia keperluan dan sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai bapa untuk memberi keselesaan kepada keluarga kecil saya nanti.

“Saya berniat untuk mendapatkan semula RXZ ini, insya-ALLAH sekiranya ada rezeki,” tambahnya.

Muhammad Farees menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang sudah membantu keluarga kecilnya dengan menukarkan kenderaan tanpa tambahan wang.

“Tak lupa kepada semua rakyat Malaysia yang murah hati dan sudi untuk membantu saya. Mereka bantu dari segi pertukaran kereta tanpa sebarang tambahan duit,” jawabnya ringkas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!