Bakal pengantin dijel 4 tahun, satu sebatan rompak kedai serbaneka

Nervin Rao (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Isnin selepas mengaku salah merompak kedai serbaneka.
Nervin Rao (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Isnin selepas mengaku salah merompak kedai serbaneka.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang bakal pengantin dihukum penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Isnin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak sebuah kedai serbaneka, minggu lalu.

Tertuduh, S Nervin Rao, 33, yang sepatutnya menamatkan zaman bujang bulan depan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rompakan terhadap harta milik 7 Eleven Malaysia iaitu wang tunai RM145 dan dua tin minuman keras di kaunter premis di Jalan Bandar di sini pada jam 5.14 pagi, 9 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Rishan Kumar yang mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan berikutan mempunyai sawan selain memaklumkan ketika kejadian dia berada dalam keadaan mabuk.

Nervin Rao (kiri) dihukum penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Isnin selepas mengaku bersalah merompak sebuah kedai serbaneka, minggu lalu.
Nervin Rao (kiri) dihukum penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Isnin selepas mengaku bersalah merompak sebuah kedai serbaneka, minggu lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 11 Julai lalu serta satu sebatan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh yang bekerja sebagai pencuci kereta turut mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dua tin minuman keras di lokasi dan tarikh sama pada jam 4.15 pagi.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.

Majistret T Ashvinii kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dari tarikh dihukum.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!