Kajian RUU 355 perlu penelitian - Anwar
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kajian mengenai Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) perlu dilakukan secara teliti sebelum ia dimuktamadkan.
Ini kerana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah tersebut bagi memastikan antaranya Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) tidak dilihat gopoh sekali gus mewujudkan kelemahan ketara."Saya menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharifuddun Idris Shah untuk meneruskan perbincangan tentang pindaan terkait 355 dan minggu lalu saya dengan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Nazrin Shah.
"Kedua- dua bersetuju dengan kerangka awal dibentangkan oleh jawatankuasa pakar dan kita mahu supaya ia diteliti betul-betul," katanya ketika berucap di Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah, di sini pada Isnin.
Jelas Anwar, kajian kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal Undang-Undang Islam yang dijalankan Jawatankuasa khas sejak Disember tahun lalu telah mendapat 'restu' Ketua Hakim Negara dan Majlis Raja-Raja.
"Cuma mereka minta supaya diteliti supaya tidak dilihat gopoh atau dalam pelaksanaan dilihat kelemahan ketara," katanya.
Menurutnya, kajian daripada jawatankuasa itu dijadual dibentangkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja Ogos depan.
Bagaimanapun, Anwar berkata, ia tidak dapat dimuktamadkan kerana disarankan untuk dirujuk kepada pakar perundangan Islam antarabangsa kerana akan menjadi satu dokumen kukuh yang boleh ditelaah.
"Perbincangan saya dengan Sultan Nazrin sebaiknya diangkat ke peringkat antarabangsa, sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan kemudian kepada sidang Majlis Raja-Raja Melayu kerana soal Islam, adat dan kewarganegaraan, hal-hal tertentu mesti mendapat kelulusan," jelas beliau.
Tegasnya, usaha penelitian itu bukan satu dalih untuk melengahkan atau meremehkan usaha lalu sebaliknya ia ditambah baik kerana terdapat beberapa kelemahan besar dalam peruntukan itu.
"Ia boleh dijadikan panduan serta diserasikan di antara kedudukan mahkamah syariah dan mahkamah sivil," kata Anwar.
Jawatankuasa yang ditubuhkan tahun lalu bertanggungjawab untuk mengkaji isu-isu yang melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri khususnya berkaitan dengan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!