[VIDEO] Keluarga tunggu 'kepulangan' Fatin, walaupun hanya tulang
KUANTAN - Genap setahun pemergian Allahyarham Azizah Eiyi bersama suami dan tujuh anaknya yang terkorban dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman, Terengganu meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluarga sehingga ditangisi segenap penjuru.
Lebih merobek jiwa buat, Halimah Kasim, 64, apabila seorang lagi cucunya, Putri Nor Fatin Karim, 14, atau mesra dipanggil Fatin masih belum ditemukan sekali gus menjadikan insiden menyayat hati itu terus diingati.
Menurutnya, dalam apa jua keadaan, seluruh ahli keluarga masih mengharapkan arwah cucunya 'pulang' untuk dikebumikan bersama ibu, bapa dan adik-beradiknya di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3 dekat sini.
"Kita sudah ikhtiar cari Fatin, bapa saudara arwah beberapa kali ke lokasi kejadian tapi tidak jumpa juga. Kami sekeluarga masih mencari dan menunggu.
"Kalau ada, biar pun tulang, kita hendak juga bawa dia balik ke sini, tapi setakat ini tidak jumpa. Saya tidak tahu hendak cakap apa lagi, selain sabar menunggu dan hanya mampu berdoa sahajalah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Felda Lepar Hilir 3 di sini pada Isnin.
Dalam kejadian pada 2 Julai 2023, 10 keluarga termasuk seorang lelaki terkorban selepas dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Air Putih.
Kesemua mangsa telah ditemui adalah, Karim Abdullah, 39 (bapa); Azizah, 40, (ibu); dan anak-anak mereka, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan tunang kepada Putri Balqis Izzati, Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Hanya Fatin iaitu anak keluarga kepada Azizah dan Karim masih belum ditemui sehingga kini.
Karim dan Azizah, bersama tujuh anak dan bakal menantu, Muhammad Fikri telah ke jeram berkenaan untuk berkelah dan bermalam pada 1 Julai tahun lalu.
Aktiviti liburan tersebut bertukar duka apabila fenomena kepala air dianggarkan setinggi 5 hingga 10 meter menyebabkan mereka tidak sempat melarikan diri ketika sedang mandi di situ.
Halimah memberitahu, solat hajat dan ghaib turut dilakukan oleh keluarga bagi sebagai usaha terakhir dengan mengharapkan pertolongan daripada ALLAH SWT.
"Pelbagai cara kita sudah buat, solat hajat semua, tapi masih tiada juga. Reda sahajalah," luahnya yang mengharapkan berlaku keajaiban.
Ibu kepada tujuh anak itu menjelaskan ujian berat yang ditanggung bukan hanya dirinya tetapi suaminya, Eiyi Johari, 61, turut merasai apabila kehilangan sembilan ahli keluarga dalam sekelip mata.
Tanpa disedari air matanya mengalir, Halimah mengaku betapa mendalam rindunya kepada arwah Azizah dan keluarganya sehingga sukar diungkap dengan kata-kata.
Selain berdoa, dia hanya dapat merenung momen indah di setiap sudut rumah yang kini tinggal sebagai kenangan.
"Saya masih teringat lagi kepada arwah sekeluarga, kehilangan itu rasa sekejap, tapi rupanya sudah sampai setahun.
"Kalau setiap kali teringat, saya tidak tahu hendak bercakap apa. Hanya mampu diam, air mata sahaja yang mengalir," katanya yang sentiasa berdoa dan menziarahi kubur arwah anak, menantu dan cucunya.
Halimah mendedahkan kejadian tragis itu telah meninggalkan kesan dalam hidupnya dan setiap kali melihat air, ketakutan menghantui dirinya.
Dia tidak mampu untuk mengatasi trauma yang memburunya setiap kali mengenangkan kejadian ngeri menimpa anaknya.
"Kalau tengok air sahaja, saya takut. Tidak tahu macam mana nak hilangkan perasaan itu.
"Mungkin memang tidak boleh hilang," katanya lagi sambil menahan emosi daripada menangis.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Artikel berkaitan: Tragedi kepala air: 9 mangsa sudah ditemukan setakat tengah hari
Tragedi kepala air: Mayat ketiga, keempat ditemui - Polis
Bapa pasrah hilang sembilan ahli keluarga sekelip mata
Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!