New Boyz bukti masih popular


Tomok bersama anggota kumpulan New Boyz (dari kiri) Along, Jay, Afiez, Lan, Zack dan Ristoe. Foto @BRSTMODE
Tomok bersama anggota kumpulan New Boyz (dari kiri) Along, Jay, Afiez, Lan, Zack dan Ristoe. Foto @BRSTMODE
A
A
A

KEJAYAAN Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang tahun lalu menjadi pembakar semangat buat Popsicle Records dan New Boyz untuk mengadakan konsert di Dewan Plenari sempena ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan itu pada Sabtu lalu.

Ternyata, kumpulan yang dianggotai Tomok sekalu vokalis, Afiez (gitar utama), Jay (gitar utama), Lan (gitar kedua), Zack (bass), Ristoe (dram) dan Along (dram) masih digilai ramai.

Buktinya, hampir 3,000 peminat memenuhi ruang di Dewan Plenari bagi menyaksikan persembahan kumpulan yang ditubuhkan pada 1999 itu.


Hampir 3,000 peminat memenuhi ruangan Dewan PlenarI bagi menyaksikan Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. Foto @BRSTMODE
Hampir 3,000 peminat memenuhi ruangan Dewan PlenarI bagi menyaksikan Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. Foto @BRSTMODE

Tidak membiarkan peminat menanti lama, New Boyz memulakan persembahan tepat jam 8.30 malam dengan seleksi 28 buah lagu mengimbau kenangan dari album pertama hingga keenam.

Antara lagu yang disampaikan adalah Lukamu Lukaku Jua, Dia, Khilaf, Marah Bukan Sifatku, Meraung, Hanya Tinggal Sejarah dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, penyanyi wanita popular, Siti Nordiana turut menjadi antara elemen kejutan apabila hadir menyampaikan lagu duet terbaharu mereka, Memori Mungkin Berulang.

Artikel Berkaitan:


Sebaik selesai menyampaikan lagu Hanya Tinggal Sejarah, Tomok menjemput anaknya, Arrian Shah, 12, untuk menyampaikan beberapa bait lagu sama. Foto @BRSTMODE
Sebaik selesai menyampaikan lagu Hanya Tinggal Sejarah, Tomok menjemput anaknya, Arrian Shah, 12, untuk menyampaikan beberapa bait lagu sama. Foto @BRSTMODE

Tidak hanya sekadar membuat persembahan, Tomok sempat meluangkan masa untuk mengedarkan hampir 100 patung beruang buat peminat bertuah.

"Siapa peminat yang hadir pada malam ini (Sabtu lalu), mereka pasti akan terimbau kenangan dengan lagu-lagu yang disampaikan.

"Kebanyakan daripada mereka berada di sekolah rendah atau menengah ketika tahun 1999, sekarang masing-masing sudah ada kerjaya dan keluarga sendiri, tetapi masih setia menyokong kami.

Kemunculan Siti Nordiana menjadi kejutan buat peminat. Foto @BRSTMODE
Kemunculan Siti Nordiana menjadi kejutan buat peminat. Foto @BRSTMODE

"Disebabkan mahu mengimbau kenangan, kami hadiah 100 patung beruang kepada peminat kerana dulu jika kami mengadakan persembahan, ada yang hadiahkan kami patung beruang dan pelbagai lagi. Jadi kali ini, kami pula yang beri," kata Tomok yang ditemui media selepas konsert berkenaan.

Sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi juga membuatkan Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 40, tidak dapat menahan sebak dan air mata ketika menyampaikan lagu terakhir, Sejarah Mungkin Berulang.

"Kalau diimbau, siapalah New Boyz dahulu, tetapi kini kami diberi peluang mengadakan konsert di pentas Plenari, satu tempat yang sangat gah dan tak sangka, jika disebut nama-nama artis yang pernah mengadakan persembahan di sini, terselit nama New Boyz juga.

"Selain itu, sokongan setia peminat, bukan hanya dari Malaysia, ada yang datang dari Singapura, Brunei, Indonesia dan ada juga yang sanggup hadir dari Macau dan Arab Saudi kerana mereka bekerja di sana, semata-mata nak tonton konsert kami.

Air mata Tomok tumpah ketika sama-sama menyampaikan lagu hits yang mengangkat nama kumpulan itu dalam industri seni 25 tahun lalu iaitu Sejarah Mungkin Berulang. Foto @BRSTMODE
Air mata Tomok tumpah ketika sama-sama menyampaikan lagu hits yang mengangkat nama kumpulan itu dalam industri seni 25 tahun lalu iaitu Sejarah Mungkin Berulang. Foto @BRSTMODE

"Peminat juga beri tenaga positif kepada kami, dari awal hingga lagu terakhir. Itu yang membuatkan saya sebak," jelasnya.

Selepas ini, New Boyz akan mengadakan konsert di Singapura, Oktober depan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dalam tempoh beberapa tahun.

"Kami sudah mengadakan dua konsert besar tahun lalu dan dua tahun ini termasuk di Singapura pada Oktober depan, jadi kami rasa kalau back to back pun tak best juga.

Tomok menyediakan 100 patung beruang pelbagai saiz untuk dihadiahkan kepada peminat. Foto @BRSTMODE
Tomok menyediakan 100 patung beruang pelbagai saiz untuk dihadiahkan kepada peminat. Foto @BRSTMODE

"Jadi kami nak bagi peminat rindu untuk saksikan konsert New Boyz dulu," ujarnya.

New Boyz ditubuhkan pada 1999 dan bergiat aktif sehingga 2007.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!