Persempadanan semula: Parlimen Tanjong Karang, Sungai Besar berisiko 'gugur'

Noh (empat dari kiri) bersama Nurul (dua dari kiri) serta ahli UMNO yang menyertai Bersatu selepas Himpunan Rakyat Bantah Keputusan Speaker Parlimen pada Ahad malam.
Noh (empat dari kiri) bersama Nurul (dua dari kiri) serta ahli UMNO yang menyertai Bersatu selepas Himpunan Rakyat Bantah Keputusan Speaker Parlimen pada Ahad malam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Parlimen Sungai Besar dan Tanjong Karang di Selangor berisiko 'gugur' sekiranya persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku berikutan dua Parlimen di Selangor itu tidak melebihi jumlah 100,000 pengundi.

"Kalau mereka (Pakatan Harapan) guna pakai formula satu Parlimen pengundi minimum mesti melebihi 100,000, bermakna (Parlimen) Sungai Besar dan Sabak Bernam akan dijadikan satu.

"Sebab kalau kedua-dua Parlimen ini digabungkan, baru ada 100,000 pengundi," katanya ketika ditemui pada Himpunan Rakyat Bantah Keputusan Speaker Parlimen di Glass V1 Boutique Hotel dekat pada Ahad malam.

Noh memberitahu, selain Sungai Besar, beliau juga menjangkakan Parlimen Tanjong Karang berkemungkinan menerima nasib sama sekiranya persempadanan itu dibuat.

"Saya cukup bimbang Parlimen Tanjong Karang juga terlibat sebab pengundi hanya ada 60,000 sahaja tidak mencapai 100,000 pengundi.

"Tidak mustahil Parlimen ini ditutup dan diletak di bawah Parlimen Kuala Selangor," tambah Noh.

Jelas beliau, langkah tersebut juga dijangka memberi kelebihan kerusi kepada PH di kawasan bandar yang majoritinya mempunyai sehingga 300,000 pengundi.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin persempadanan pilihan raya akan menambah kerusi di bandar dan keadaan ini memberi kesan kepada politik kaum Melayu," jelas beliau.

Dalam pada itu, seramai 70 ahli UMNO Bahagian Tanjong Karang bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Bersatu bahagian berkenaan.

Naib Ketua Pemuda UMNO Tanjong Karang, Nikmatullah Abu Bakar Citi berkata, keputusan meninggalkan UMNO dibuat berikutan rasa tidak puas hati dengan tindakan dan layanan Pakatan Harapan (PH) terhadap UMNO.

"Kami (Pemuda UMNO) tidak terpilih untuk menjadi ahli lembaga pengarah hospital, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan isu pelantikan ketua kampung.

"Saya melihat, kita ini seolah-olah mengikut telunjuk PKR dan UMNO pula tiada kekuatan untuk berdiri atas kaki sendiri," katanya.

Ketua Penaja Bersatu Bahagian Tanjong Karang, Nurul Syazwani Noh berkata, Bersatu amat mengalu-alukan rakan terutama daripada UMNO untuk menyokong Bersatu.

Jelas beliau, pihaknya berharap masyarakat terutama anak muda untuk meneruskan perjuangan dalam Bersatu yang kini dilihat parti yang boleh menggantikan UMNO dalam memperjuangkan tentang agama, bangsa dan tanah air (ABATA).

"Sebenarnya ramai anak muda yang ikhlas dan semangat untuk memperjuangkan prinsip ABATA, tapi apa yang saya lihat suara mereka tidak didengari oleh pucuk pimpinan parti berkenaan," jelasnya.

Katanya, sehingga kini pihaknya sudah berjaya membuka 30 cawangan Bersatu Parlimen Tanjong Karang termasuk lima yang masih dalam proses pendaftaran.

"Kita berusaha untuk meningkatkan lagi ahli Bersatu dan membuka lebih banyak cawangan pada masa akan datang," kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!