Ramkarpal bimbang spekulasi AG akan dilantik Hakim Besar Malaya
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh menyatakan kebimbangan mengenai spekulasi Peguam Negara (AG), Ahmad Terrirudin Salleh direncana untuk dilantik menjadi Hakim Besar Malaya pada masa akan datang.
Menurut beliau, isu itu tidak ada kaitan dengan prestasi atau kecekapan Terrirudin sebagai Peguam Negara tetapi lebih kepada kewujudan keperluan untuk menyimpang daripada amalan badan kehakiman yang mempromosikan dari dalam badan kehakiman sendiri.
"Kerajaan Madani harus mengelak daripada meninggalkan amalan melantik Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat sebagai Hakim Besar Malaya kerana tidak ada sebab, dalam keadaan itu, untuk mengambil seseorang yang belum berkhidmat sebagai hakim bagi peranan tersebut.
"Melantik orang luar kepada salah satu jawatan kehakiman paling kanan negara sudah tentu satu langkah ke belakang dan akan mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan kehakiman.
"Ia juga dilihat sebagai tidak menghargai kerja yang telah dilakukan oleh anggota badan kehakiman semasa untuk memulihkan kepercayaan orang ramai dan antarabangsa terhadap cabang kehakiman Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Minggu lalu, sebuah portal tempatan memetik sumber melaporkan nama Terrirudin dikemukakan oleh Pejabat Perdana Menteri kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam proses melantik beliau menjadi seorang Hakim Mahkamah Persekutuan atau ke jawatan-jawatan lebih tinggi dalam badan kehakiman.
Ramkarpal berkata, kerajaan tidak menafikan laporan mengenai rencana pelantikan Terrirudin itu yang menguatkan lagi spekulasi tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, walaupun terdapat duluan orang luar dilantik ke Mahkamah Persekutuan, tetapi ia tidak harus diikuti jika kerajaan komited terhadap pembaharuan institusi.
"Sehubungan dengan itu, duluan seperti itu harus ditinggalkan kerana ia menimbulkan persepsi campur tangan kerajaan dalam pelantikan hakim kanan memandangkan pelantikan tersebut akhirnya dibuat atas nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
"Perlu ditegaskan bahawa terdapat calon yang layak daripada barisan Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat untuk mengisi jawatan Hakim Besar Malaya dan difahamkan syor telah dibuat oleh Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC), iaitu dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, daripada barisan itu," katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, mengambil kira kekananan seseorang calon itu ada baiknya, kerana selain lebih berpengalaman, ia menjadikan badan kehakiman lebih stabil.
"Hakim-hakim yang lebih junior akan menghormati hakim-hakim yang lebih kanan daripada mereka, bukan memandang serong antara satu sama lain, di hadapan tunjuk hormat, di belakang menunggu kesempatan untuk melangkau.
"Hakim-hakim tidak akan berlumba untuk mendekati Perdana Menteri (PM). Selain itu, tidaklah akan menampakkan sangat bahawa PM terang-terang mencari seorang yang akan mengikut cakapnya.
"Seorang hakim yang sangat junior yang diangkat PM melangkau banyak hakim lebih kanan untuk memegang satu jawatan tinggi, apatah lagi Ketua Hakim Negara, akan merasa dirinya kecil berhadapan dengan PM, apatah lagi yang telah lama memegang jawatan itu, atau paling kurang merasa amat terhutang budi kepadanya. Itu tidak baik untuk kebebasan mahkamah," katanya.
Jelas beliau, di India, perlembagaannya memperuntukkan bahawa pelantikan Ketua Hakim hendaklah mengikut kekananan sehinggakan seorang hakim yang akan bersara wajib dalam masa 17 hari dan sedang bercuti sebelum bersara pun dilantik menjadi Ketua Hakim.
Tambahnya, Perlembagaan Malaysia tidak menyebut mengenai kekananan tetapi tiga orang PM pertama, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn semuanya Barrister at Law, England, mematuhi kekananan dengan tegas.
"Biar siapa pun menjadi PM, beliau janganlah hanya memikirkan kepentingan menguatkan kedudukan sendiri sehingga sengaja melemahkan dua cabang kerajaan lagi.
"Tiga cabang itu diwujudkan untuk mengelak kediktatoran. Ketiga-tiga cabang itu perlu seimbang dan sama kuat. Itulah tanda sebuah kerajaan yang sihat, kukuh dan dihormati," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!