Hari Asyura: Puasa sunat dihapuskan dosa, belanja keluarga diluaskan rezeki
HARI kesepuluh dalam bulan Muharam atau juga disebut sebagai hari Asyura merupakan hari yang dinanti-nantikan Rasulullah SAW.
Mengapa Baginda SAW menanti-nantikan hari tersebut? Apakah ia begitu istimewa?
Pendakwah Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, terdapat dua amalan sunat yang sangat besar ganjarannya pada hari tersebut.
Menurutnya, sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Ibnu Abbas ketika ditanya mengenai puasa pada hari Asyura, beliau menjawab: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadilatnya lebih berbanding pada hari-hari yang lain melainkan hari Asyura.”
“Ketika hari Asyura datang, ada dua sunnah Nabi SAW yang sangat besar iaitu berpuasa sunat pada hari Asyura tersebut.
“Ganjarannya ialah diampunkan setahun seluruh dosa kecil yang telah lalu,” katanya dalam satu ceramahnya yang dimuat naik di TikTok.
Beliau merujuk kepada hadis Rasulullah SAW: “Dan berpuasa pada hari Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang sebelumnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Maksudnya Nabi SAW menunggu puasa Asyura. Maka ajaklah ahli-ahli keluarga untuk sama-sama berpuasa sunat.
“Saya rasa ramai dalam kalangan ahli keluarga yang belum pernah menganjurkan puasa sunat, beramai-ramai satu keluarga bangun untuk berpuasa sunat 10 Muharam,” katanya.
Tambah Ustaz Wadi Annuar, apa yang lebih baik ialah kita turut berpuasa pada hari sebelumnya iaitu 9 Muharam selain 10 Muharam atau berpuasa pada 10 dan 11 Muharam.
“Kalau puasa pada 10 Muharam sahaja pun sudah dapat fadilatnya,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kelebihan hari Asyura, Ustaz Wadi Annuar berkata, perkara kedua yang besar ganjarannya untuk dilakukan adalah berbelanja besar kepada ahli keluarganya pada hari tersebut.
“Siapa yang menggembirakan ahli keluarganya pada hari Asyura, dia sediakan makanan yang untuk isteri dan anak-anaknya, ALLAH akan menyenangkan, memudahkan dan memurahkan serta meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu,” katanya.
Beliau merujuk kepada hadis yang berbunyi: "Sesiapa yang meluaskan rezeki keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan luaskan rezekinya sepanjang tahun." (Hadis Riwayat Al-Baihaqi, Ibnu Adi, Al-Uqaili, Ibnu Jauzi, Ash-Shajari, At-Tabarani dan Ibn Hibban.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu artikelnya menyenaraikan beberapa kelebihan 10 Muharam atau hari Asyura. Antaranya:
1 – Hari yang dicari fadilatnya.
Ia berdasarkan Ibnu Abbas RA ketika ditanyakan mengenai hari Asyura, beliau berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari-hari yang lain melainkan hari ini iaitu hari Asyura.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
2 - Hari Nabi Musa AS diselamatkan manakala Firaun dan pengikutnya ditenggelamkan.
Di dalam as-Sahihain, Ibnu Abbas RA berkata: “Rasulullah SAW tiba di Madinah dan baginda mendapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka ini adalah hari yang mulia yang mana ALLAH selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW: Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
3 - Diampunkan dosa setahun yang lalu.
4 - Hari diterima taubat Nabi Adam AS seperti dirakamkan dalam kitab Ad-Durr al-Manthur karya Al-Imam As-Suyuti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!