KDEB Waste Management, UUM meterai kerjasama tingkat kesedaran TVET

Ramli (duduk, dua dari kiri) dan Mohd Foad (duduk, dua dari kanan) pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani RCA.
Ramli (duduk, dua dari kiri) dan Mohd Foad (duduk, dua dari kanan) pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani RCA.
A
A
A

SHAH ALAM - KDEB Waste Management menandatangani Perjanjian Kerjasama Penyelidikan (RCA) bersama School of Education Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi meningkatkan kesedaran mengenai Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, penyelidikan tersebut akan meninjau tahap kesedaran TVET dalam kalangan kakitangan syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam KDEB Waste Management.

Menurutnya, melalui kerjasama itu, KDEB Waste Management akan menyediakan peruntukan kewangan sebagai geran penyelidikan kepada UUM.

“Selain itu, Jabatan Operasi dan Jabatan Komunikasi Korporat KDEB Waste Management akan memberi sokongan penuh sepanjang projek penyelidikan ini berlangsung selama setahun.

“Sokongan ini termasuk pengumpulan data, temu bual, lawatan tapak dan lain-lain aktiviti berkaitan KDEB Waste Management,” katanya pada majlis menandatangani RCA antara KDEB Waste Management bersama School of Education UUM di sini pada Jumaat.

Majlis menandatangani RCA itu diwakili oleh Ramli bagi pihak KDEB Waste Management dan Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan mewakili pihak universiti.

Hadir sama, Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management, Mohd Idris Mohamed Yusof dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Profesor Dr Russayani Ismail.

Ramli berkata, KDEB Waste Management percaya kerjasama penyelidikan akan memberi manfaat besar kepada syarikat dalam pelbagai aspek termasuk peningkatan kecekapan kewangan, operasi harian dan kelestarian.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, hasil penyelidikan tersebut diharap dapat menyumbang kepada penerbitan jurnal akademik dan kajian literatur berguna sebagai rujukan kepada pelajar, penyelidik, pensyarah serta masyarakat.

“Sebagai anak syarikat Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI), KDEB Waste Management telah diberi mandat oleh kerajaan Selangor untuk menguruskan kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di negeri ini.

“Penubuhan syarikat ini bertujuan meningkatkan kecekapan operasi pengurusan sampah, sekali gus memastikan kebersihan dan kehijauan negeri Selangor terpelihara,” jelas beliau.

Penyelidikan yang akan berakhir pada Julai tahun depan itu akan dikendalikan Profesor Madya Ts Dr Shanusi Ahmad selaku ketua penyelidikan bersama rakan penyelidik, Profesor Ts Dr Irwan Mahazir Ismail.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!