Ibu rayu sumbangan anak sakit paru-paru kronik

Siti Hawa Che Man, 40, memasang saluran pernafasan kepada anaknya Nur Auni Husnina Mohamad Radzi, 2, yang menghadapi masalah paru-paru dan jantung berlubang kronik di rumahnya di Kampung Sena, Padang Temak, hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA NERANG - Seorang suri rumah, Siti Hawa Che Man, 40, merayu sumbangan orang ramai bagi meringankan beban ditanggung menguruskan anak perempuannya yang menderita penyakit paru-paru kronik dan jantung berlubang sejak lahir.

Siti Hawa berkata, anak bongsunya yang baru berusia dua tahun, Nur Auni Husnina Mohamad Radzi kini terlantar di rumah disebabkan penyakitnya dan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan sepanjang masa.

“Nur Auni Husnina amat sensitif kepada persekitaran. Adakalanya dua hingga tiga kali sebulan dia dimasukkan ke wad disebabkan sesak nafas akibat masalah paru-paru. Tahun lepas sahaja 22 kali dia dibawa ke HSB dan dirawat selama beberapa hari... saya buntu kerana setiap kali ke sana ia memerlukan perbelanjaan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Sena, Padang Temak di sini hari ini.

Menurut Siti Hawa, perbelanjaan harian menanggung tiga anak termasuk rawatan Nur Auni Husnina bergantung kepada pendapatan suaminya Mohamad Radzi Said, 47, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,000 sebulan selain bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pengerusi Sahabat Charity Balqish (SCB) Rukiza Abu Bakar (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Nur Auni Husnina Mohamad Radzi, 2, yang mengidap masalah paru-paru dan jantung berlubang kronik di rumahnya di Kampung Sena, Padang Temak, hari ini. - Foto Bernama

“Memang tidak cukup, sebab beli susu khas untuk dia pun perlu RM600 sebulan dan selebihnya lampin pakai buang. Dia tidak boleh minum susu lain bagi menjamin penghadamannya lancar.

“Saya nak kerja tambah pendapatan suami, tetapi tidak boleh sebab Nur Auni Husnina perlu perhatian sepanjang masa sebab dia guna tiup saluran pernafasan, saya bimbang tercabut dan boleh mengancam nyawa,” katanya.

Nur Auni Husnina juga perlu disedut kahaknya setiap dua jam bagi melancarkan pernafasan dan diberikan minum susu melalui tiup di hidung.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, penderitaan Nur Auni Husnina mendapat perhatian Pengerusi Sahabat Charity Balqish (SCB), Rukiza Abu Bakar yang tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan harian kepada keluarga itu hari ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Mohamad Radzi nombor 6334952233 atau menghubunginya di talian 017-5764600. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!