Malaysia perlu mula kaji eksport perkhidmatan pensijilan halal - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul. Foto Bernama
Tengku Zafrul. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu mula mengkaji dengan teliti untuk mengeksport perkhidmatan pensijilan halalnya ke negara lain yang meminta bantuan tersebut, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, pensijilan halal Malaysia dianggap sebagai piawaian emas global berikutan ekosistem halalnya yang mantap serta rangka kerja pengawalseliaan yang kukuh dan berada pada kedudukan baik untuk menguasai sebahagian besar pasaran ini.

"Sudah tiba masanya untuk kita mula berfikir untuk mengeksport perkhidmatan pensijilan halal ke negara lain yang meminta sokongan kita,” katanya semasa melancarkan inisiatif Akreditasi Halal & Peningkatan Teknologi (HATI), di sini, pada Isnin.

Tengku Zafrul berkata, isu ini turut dibincangkan semasa misi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Republik Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan pada Mei lepas serta misi perdagangannya ke Vietnam baru-baru ini.

"Kerajaan semua negara ini telah meminta bantuan dan sokongan Malaysia dalam pensijilan halal untuk industri pertanian dan makanan diproses mereka.

"Ketika kita mengorak langkah kehadapan, penting bagi kita untuk menyedari potensi amat besar pasaran halal global, yang dijangka berkembang sekurang-kurangnya AS$5 trilion (AS$1=RM4.67) menjelang 2030," katanya.

Sementara itu mengenai HATI, Tengku Zafrul berkata, inisiatif tersebut dilancarkan bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dengan pasaran halal utama dan meningkatkan penyertaan dalam rantaian nilai global.

Menerusi peruntukan dana sebanyak RM100 juta, beliau berkata, inisiatif itu akan membantu akses pasaran yang lebih baik bagi produk halal Malaysia, menggalakkan pertukaran amalan terbaik dan memupuk inovasi dalam seluruh industri.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin HATI akan membuka jalan kepada proses akreditasi halal yang lebih cekap, telus dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, dengan memanfaatkan penyelesaian digital dan amalan inovatif, HATI disasarkan agar dapat menyelaraskan proses pensijilan, mengurangkan ketidakcekapan operasi dan menyokong perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana dalam memenuhi standard halal global.

"Inisiatif ini bukan hanya memberi manfaat kepada perusahaan tempatan kita tetapi juga meningkatkan reputasi Malaysia sebagai pengeluar produk halal berkualiti tinggi.

"MITI, menerusi Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), akan memastikan pelaksanaan HATI dijalankan dengan cekap bagi mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!