Teks, bahan al-Quran tiada perakuan KDN bernilai RM3.2 juta disita

Aktiviti pelupusan melibatkan 4,015 teks serta bahan Al-Quran yang tiada perakuan KDN dan mengandungi kesalahan ayat secara kaedah pelepasan abu Al-Quran dianggarkan seberat dua tan.
Aktiviti pelupusan melibatkan 4,015 teks serta bahan Al-Quran yang tiada perakuan KDN dan mengandungi kesalahan ayat secara kaedah pelepasan abu Al-Quran dianggarkan seberat dua tan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 22,414 unit teks serta bahan al-Quran bernilai RM3.2 juta disita menerusi operasi penguatkuasaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Setiausaha Bahagian Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri, Nik Yusaimi Yussof berkata, keseluruhan nilai ini dibentang menerusi Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) Kali Ke-111 pada Ahad.

Beliau berkata, mesyuarat ini dipengerusikan Datuk Dr Nooh Gadot dengan kehadiran mufti-mufti yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja Negeri masing-masing.

"Sebanyak 994 jenis Al-Quran dibenarkan untuk dicetak, diterbit, diimport, dijual dan diedar dalam negara bagi manfaat umat Islam di negara ini.

"Ketetapan sama menerusi mesyuarat ini turut meluluskan pemuliaan (pelupusan) terhadap 47,245 unit teks serta bahan al-Quran dari seluruh negara serta dilaksanakan terhadap teks dan bahan al-Quran yang tiada perakuan KDN dan pelbagai kesilapan pada ayat," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, selain itu sejumlah 16,719 naskah al-Quran turut berjaya dikesan dan ditarik keluar menerusi program Jom Exchange Al-Quran (JEQ) di seluruh negara.

"Kesemua naskah ini merupakan hasil daripada misi ke arah sifat al-Quran yang tiada perakuan KDN sehingga Jun tahun ini.

"Ia merupakan naskah al-Quran yang didapati tiada perakuan KDN dan pelbagai kesilapan pada ayat ditarik keluar secara sukarela daripada komuniti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mesyuarat sama telah membuat keputusan bahawa pemegang Lesen Mesin Cetak al-Quran (LMCQ) akan tindakan pembatalan lesen mesin cetak al-Quran sekiranya melanggar mana-mana syarat lesen ditetapkan.

Proses pelupusan dilaksanakan pada jarak melebihi 10 batu nautika dengan kedalaman 25 meter di perairan Pulau Kapas.
Proses pelupusan dilaksanakan pada jarak melebihi 10 batu nautika dengan kedalaman 25 meter di perairan Pulau Kapas.

"Bagi syarikat atau mana-mana pihak yang telah dibatalkan lesen tidak boleh memohon lesen baharu selama tempoh dua tahun daripada tarikh dibatalkan.

"Hanya syarikat atau mana-mana pihak yang melepasi kelayakan dan mempunyai kemampuan untuk menghasilkan Al-Quran sebagaimana Garis Panduan Permohonan Lesen Mencetak Teks al-Quran akan diberi lesen," katanya.

Tambahnya, teks atau bahan al-Quran tidak boleh ditulis selain daripada bahasa Arab atau ditulis dalam bahasa lain yang disertakan dengan teks bahasa Arab.

"Keputusan ini dibuat selaras dengan keseriusan Lembaga dalam menjaga kesucian dan kemuliaan teks al-Quran agar tidak disebut dengan sebutan salah yang boleh memberi maksud berbeza dari maksud asal," katanya.

Jelasnya, mesyuarat turut bersetuju supaya KDN dan JAKIM menjalankan sinergi dengan agensi agama negeri bagi meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap isu-isu yang menjejaskan kesucian dan kemuliaan al-Quran.

"Mesyuarat kali ini turut dijalankan aktiviti pelupusan melibatkan 4,015 teks serta bahan al-Quran yang tiada perakuan KDN dan mengandungi kesalahan ayat secara kaedah pelepasan abu al-Quran dianggarkan seberat dua tan.

"Proses ini dilaksanakan pada jarak melebihi 10 batu nautika dengan kedalaman 25 meter di perairan Pulau Kapas melibatkan Pejabat Mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu," katanya.

Nik Yusaimi menegaskan KDN akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang terlibat dengan aktiviti penjualan ataupun pengedaran al-Quran atau bahan al-Quran menyalahi akta ditetapkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!