Kereta jatuh kolam takungan najis lepas terlanggar penghantar makanan
SUNGAI PETANI - Gara-gara ketakutan selepas terbabit kemalangan, seorang pemandu kereta terbabas ke kolam takungan najis di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pemandu terbabit pada mulanya memberikan alasan terlepas simpang, menyebabkannya membelok secara tiba-tiba sebelum berlaku kemalangan dengan seorang penghantar makanan.
Menurutnya, kejadian pada jam 4.25 petang di hadapan sebuah stesen minyak di Taman Sri Wang itu berlaku apabila pemandu kereta berusia 20-an dikatakan terlanggar penunggang motosikal tersebut ketika ingin membelok.
"Pemandu kereta yang panik dikatakan bergegas meninggalkan kawasan kemalangan dipercayai akibat ketakutan sementara mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi dan pipi selain calar di bahagian tangan dan kaki.
"Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, kereta yang dipandu lelaki terbabit dilaporkan telah terjatuh ke kolam takungan najis lebih kurang 100 meter dari lokasi kejadian pertama," katanya.
Menurut Wan Azharuddin, rakaman percakapan telah dijalankan dan kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!