Kempen myPTPTN Mudah, Cepat dan Selamat tawar hadiah lumayan
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menganjurkan Kempen myPTPTN Mudah, Cepat dan Selamat bagi menggalakkan peminjam membuat bayaran balik melalui saluran tanpa tunai.
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, menerusi kempen itu pihaknya menawarkan wang tunai berjumlah RM120,000 untuk 120 orang pemenang.
Katanya, setiap pemenang akan menerima hadiah berjumlah RM1,000 dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN dan tempoh kempen adalah selama tiga bulan mulai 1 Julai sehingga 30 September 2024.
"Peminjam PTPTN hanya perlu membuat bayaran balik dengan nilai minimum RM100 dalam tempoh kempen untuk melayakkan peminjam mendapat 10 cabutan dan penyertaan adalah secara automatik. Ia terbuka kepada semua peminjam yang menggunakan aplikasi myPTPTN.
"Kempen ini dapat mendidik orang ramai mengenai kelebihan bayaran tanpa tunai yang lebih cepat, mudah dan selamat melalui aplikasi myPTPTN. Pengguna yang baharu mendaftar dalam tempoh kempen layak mendapat 20 cabutan," ujarnya.
Sementara itu, menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, PTPTN akan terus komited dalam agenda pendigitalan untuk memastikan pelanggan menerima perkhidmatan yang terbaik.
Jelasnya, kempen itu adalah bagi menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab mereka agar kesinambungan pinjaman PTPTN dapat diteruskan untuk generasi akan datang.
"Kami berharap dengan penganjuran kempen ini akan meningkatkan kesedaran peminjam PTPTN untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui aplikasi myPTPTN.
"Melalui kempen ini juga peminjam PTPTN yang memenangi hadiah wang tunai akan menerima tambahan kewangan yang secara tidak langsung membantu mereka membayar balik pinjaman,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen myPTPTN Mudah, Cepat dan Selamat, orang ramai boleh layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau muat turun aplikasi myPTPTN untuk mendapatkan notifikasi dan perkhidmatan PTPTN.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!