Tukang cuci warga Sri Lanka maut nahas empat kenderaan
JOHOR BAHRU - Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Kilometer 11 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, pada awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang maut dalam kemalangan sekitar jam 12.40 pagi itu merupakan warga Sri Lanka yang bekerja sebagai tukang cuci kereta.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah pusat bandar di lorong tengah telah melanggar sebuah motosikal lain yang berada di hadapannya.
"Akibatnya mangsa jatuh ke lorong kanan. Pada masa yang sama, datang sebuah kereta melanggar mangsa. kereta tersebut turut dilanggar sebuah kereta lain di belakangnya.
"Mangsa yang berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Seorang lagi penunggang motosikal mengalami luka di tangan. Dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Raub, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Saksi awam yang melihat kejadian tersebut diminta tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Hafiza Othman di talian 014-8068350," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!