Geografi, demografi Sabah Sarawak cabaran utama isu bekalan air

Rubiah (tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KEDA di Kompleks KEDA, di Alor Setar pada Isnin.
Rubiah (tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KEDA di Kompleks KEDA, di Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Keadaan geografi dan demografi penduduk di Sabah dan Sarawak dilihat menjadi antara cabaran utama kepada agensi bertanggungjawab bagi menyelesaikan isu bekalan air luar bandar di dua buah negeri tersebut.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, walau bagaimanapun, masalah berkenaan masih mampu diuruskan jika mendapat kerjasama yang baik terutamanya kerajaan negeri.

Menurutnya, perkara tersebut penting terutamanya dalam melaksanakan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan KKDW bersedia membuat rundingan dengan agensi berkaitan untuk menambahbaik sistem air negara.

“Semua orang tahu keadaan Sabah Sarawak macam mana. Memang agak sukar dari sudut pelaksanaan dengan orang kata taburan penduduk yang bertaburanlah. Jadi, untuk kita memenuhi secara keseluruhannya agak sukar. Namun bagi saya, kata kuncinya masih kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri kalau mempunyai sistem pengurusan air yang baik, usaha KKDW dan Petra (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) jadi lebih mudah.

“Namun, Sarawak sekarang ke arah berkenaan, kerana mempunyai perancangan yang rapi. Jadi kementerian kita dan juga Petra mudah masuk. Jadi projek bekalan air ini dapat dilaksanakan dengan baik dan impak hasilnya pun lebih bagus pada masa akan datang,” katanya ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kompleks KEDA, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2024 Siri 2 yang dikeluarkan pada 5 Julai lepas menyatakan gangguan bekalan di Sarawak dan Sabah tidak ditangani dengan baik menyebabkan penduduk luar bandar di kedua-dua negeri masih tidak dapat menikmati air bersih dan terawat.

Perkara tersebut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang akan mengadakan pertemuan dengan KKDW bagi membincangkan isu projek BALB di Sarawak dan Sabah.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya Rubiah, kementerian itu pada masa yang sama juga turut menerima banyak permohonan untuk projek BALB dilaksanakan di dua buah negeri berkenaan.

“KKDW adalah satu cabang sahaja sebab kita tahu peranan di pihak kita dalam pengurusan air negara kita menyediakan fasiliti untuk akaun baharu baharu sahaja iaitu menyediakan paip pelanggan baharu khasnya di kawasan luar bandar.

“Manakala sumber air atau penyelenggaraan paip sumber air itu di bawah agensi lain termasuk Petra. Kalau diadakan perbincangan saya rasa tak ada masalah, kita boleh tambah baik sistem pengurusan air negara,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!