Polis rakam percakapan tujuh individu kes wanita hilang
TANJUNG MALIM - Polis sudah merakam percakapan tujuh individu berhubung kes seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa di Taman Universiti di sini, sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, antara yang diambil keterangan adalah rakan sekerja kepada Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dan wanita yang menyewa kereta pada hari kejadian.
Menurut beliau, usaha mengesan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tersebut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.
"Seramai tujuh individu telah dirakam percakapan dan setakat ini belum ada perkembangan baru diperoleh," katanya ringkas ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Sementara itu, wakil pengurusan yang enggan dikenali memaklumkan Nur Farah Kartini merupakan kakitangan yang komited di Bahagian Pemasaran Digital di sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim.
"Kereta sewa ini kerja sambilan sekadar membantu pelajar-pelajar UPSI mudah mendapatkan kereta untuk apa-apa urusan.
"Farah menghantar kereta kepada penyewa jam 8 pagi sebelum naik sebuah kereta berwarna merah namun, model dan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan kerana keadaan hujan," katanya.
Menurutnya, kali terakhir berhubung dengan mangsa apabila dia membalas pesanan WhatsApp ketika diminta untuk menghantar tempahan medal kepada pelanggan.
"Farah adalah seorang staf yang sangat komited dengan kerjanya dan tidak pernah mencetus apa-apa masalah sepanjang hampir setahun bekerja.
"Kami menghubunginya namun tiada jawapan malah pesanan WhatsApp juga tidak dibaca dan dibalas sehingga sekarang," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis mohon bantuan orang awam bagi mengesan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya, Rabu lalu.
Kehilangan mangsa disedari selepas dia gagal masuk ke pejabat dan kali terakhir mangsa memakai baju korporat muslimah warna biru jeans, bertudung dan berseluar hitam.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!