C4 cadang tiga penambahbaikan NACS

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) mencadangkan tiga bidang penambahbaikan kepada Strategi Pencegahan Rasuah Nasional 2024-2028 (NACS) untuk menangani kontroversi yang timbul selepas pelancarannya.

C4 Center dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan banyak peristiwa yang berlaku, antaranya pelantikan semula Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurutnya, ia turut melibatkan pelantikan Asia Mobiliti oleh kerajaan negeri Selangor yang menimbulkan persoalan utama konflik kepentingan dan pelantikan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi sebagai Pengerusi TalentCorp.

“Penglibatan Menteri Persekutuan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap turut menjadi kontroversi selepas pelancaran NACS.

“Tiga bidang itu adalah had dalam menggunakan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk mengukur kejayaan, ketidakcukupan dalam proses pemantauan dan penilaian pelaksanaan NACS serta penggugurannya terhadap beberapa pembaharuan utama,” katanya pada Isnin.

Pada 7 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Strategi Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024-2028 (NACS) yang merupakan kesinambungan kepada pelan Pencegahan Rasuah Kebangsaan Malaysia 2019-2023 (NACP).

Ia menyediakan rangka kerja untuk menangani dan memerangi rasuah dengan meningkatkan tadbir urus dan pengukuhan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran perkhidmatan awam.

C4 Center memaklumkan Malaysia menyasarkan kedudukan 25 teratas dalam CPI untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, beberapa kritikan itu penting untuk menggunakan CPI sebagai penunjuk utama kejayaan itu dalam memerangi rasuah yang berlaku di negara ini.

“Skor dikira dengan menggunakan data yang dikumpulkan daripada tinjauan dan penilaian rasuah, ia termasuk dari sumber bank dunia dan Forum Ekonomi Dunia.

“Selepas itu, nama negara akan disenaraikan mengikut skor dan indeks yang diterbitkan,” tambahnya.

C4 Center menjelaskan, dengan mencapai kedudukan 25 teratas dalam CPI, ia akan menjadi peningkatan ketara bagi Malaysia berbanding kedudukannya sekarang.

“Tumpuan utama mestilah pada berapa banyak skor Malaysia yang bertambah baik kerana ia akan lebih mencerminkan peningkatan di bawah CPI.

“Pendekatan yang lebih baik adalah untuk mengenal pasti skor untuk Malaysia capai dan dari mana kedudukan CPI terbaik yang akan diikuti,” tambahnya.

Dalam kenyataan sama, C4 Center memberitahu proses pemantauan dan penilaian sahaja tidak mencukupi kerana sebanyak 85 daripada 111 inisiatif NACP telah diselesaikan yang berjumlah 77 peratus.

Ujarnya, beberapa perkara masih dipersoalkan sama ada penyelesaian inisiatif yang sepatutnya membawa kepada kesan positif terhadap tadbir urus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

“Inisiatif 1.1.6 dan 1.1.7 NACP yang menetapkan penubuhan jawatankuasa bebas untuk menangani isu – isu SPR seperti pelantikan, dilaporkan ‘selesai’ berikutan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai pilihan raya pada 2019.

“Oleh itu, tuntutan bahawa 85 daripada 111 inisiatif NACP diselesaikan tidak boleh diambil pada nilai nominal kerana penyelesaian tidak mengambil kira kesan sebenar inisiatif dan tidak boleh diterima secara tidak kritis sebagai kemajuan,” jelasnya.

Selain itu, C4 Center menekankan sebarang kadar penyelesaian dibawah 100 peratus untuk NACS harus dianggap sebagai kegagalan besar oleh kerajaan.

Pihaknya turut mengulangi kekecewaan terhadap kehilangan beberapa pembaharuan utama yang penting dalam meningkatkan tadbir urus.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!