'Lantik Hakim Besar Malaya dalam kalangan badan kehakiman'

Sembilan bekas Presiden Majlis Peguam menggesa kerajaan menghormati amalan biasa iaitu melantik Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat untuk mengisi jawatan Hakim Besar Malaya.
Sembilan bekas Presiden Majlis Peguam menggesa kerajaan menghormati amalan biasa iaitu melantik Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat untuk mengisi jawatan Hakim Besar Malaya.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai sembilan bekas Presiden Majlis Peguam mengkritik sebarang cadangan atau usaha untuk melantik 'orang' luar' sebagai Hakim Besar Malaya.

Menerusi satu kenyataan bersama, kumpulan itu juga menggesa supaya kerajaan menghormati amalan biasa iaitu melantik Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat untuk mengisi jawatan tersebut.

Ini kerana menurut mereka, masih ramai lagi hakim yang sedang berkhidmat layak menjawat jawatan sebagai Hakim Besar Malaya.

"Kami ingin menyatakan kebimbangan terhadap laporan bahawa 'orang luar' boleh dilantik Hakim Malaya seterusnya. Peguam Negara (ketika ini, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh) dijadual akan diangkat Hakim Mahkamah Persekutuan dan kemudiannya dilantik sebagai Hakim Besar Malaya.

"Tidak ada rasional jelas atau meyakinkan untuk langkah luar biasa ini memandangkan terdapat beberapa Hakim Mahkamah Persekutuan yang berkelayakan dan lebih senior.

"Kami percaya isu yang melanda pentadbiran (pelantikan Hakim Besar Malaya) akan diselesaikan dengan pendirian afirmatif oleh Perdana Menteri bahawa tidak ada rancangan seperti yang dilaporkan dan memperakui hakim yang sedang berkhidmat ketika ini layak untuk dilantik Hakim Besar Malaya," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan sembilan bekas Presiden Majlis Peguam itu terdiri Zainur Zakaria, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Datuk S Ambiga, Ragunath Kesavan, Lim Chee Wee, Christopher Leong dan Steven Thiru.

Minggu lalu, sebuah portal tempatan memetik sumber melaporkan nama Terrirudin dikemukakan oleh Pejabat Perdana Menteri kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam proses melantik beliau menjadi seorang Hakim Mahkamah Persekutuan atau ke jawatan-jawatan lebih tinggi dalam badan kehakiman.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh turut menyatakan kebimbangan mengenai spekulasi Ahmad Terrirudin dicadang untuk dilantik menjadi Hakim Besar Malaya pada masa akan datang.

Beliau tidak mengkritik prestasi Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara sebaliknya, amalan melantik Hakim Besar terutamanya apabila adanya ramai lagi hakim yang layak menjawat jawatan tersebut.

Hakim Besar Malaya adalah kedudukan ketiga tertinggi dalam hierarki kehakiman negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!