Empat kopitiam diserbu, 145 pekerja warga asing ditahan
JOHOR BAHRU - Seramai 145 pekerja warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, hasil serbuan yang dijalankan di empat premis kopitiam di negeri ini pada Sabtu.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi pada jam 10 pagi itu dilakukan selepas menerima aduan orang ramai mengenai warga asing tidak memiliki pasport yang sah bekerja di premis kopitiam.
"Dalam operasi di empat premis kopitiam itu, seramai 203 warga asing dan tempatan diperiksa dan daripada jumlah itu 145 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 90 lelaki dan 18 wanita wargan Myanmar, 27 lelaki Nepal, empat lelaki dan tiga wanita Indonesia serta tiga lelaki Bangladesh masing-masing berusia 18 hingga 44 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
"Mereka juga melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit kerja yang sah dan Seksyen 15(1)(C) akta yang sama kerana tinggal lebih lama di negara ini, katanya.
"Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Perlindungan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!