Jadikan kenyataan PM sebagai pandangan positif - Fadhlina
REMBAU - Para pendidik seharusnya menjadikan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengecualian kenaikan pangkat secara 'time based' kepada guru yang melanggar disiplin sebagai pandangan yang positif.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagaimanapun beliau tidak menolak bahawa sebilangan kecil sahaja yang gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.
"Tetapi secara keseluruhannya kita di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan jaminan guru-guru yang terlatih, cukup komited dan memberikan tumpuan sepenuh jiwa raga mereka untuk pendidikan negara.
"Apatah lagi kita sedang melangkah ke agenda-agenda yang penting berkaitan dengan kurikulum baharu 2027 (Kurikulum Persekolahan 2027) termasuklah pelan pembangunan pendidikan 2025 dan sekarang ini sedang membina pelan pendidikan yang baharu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Penyerahan dan Perasmian Bangunan Projek naik taraf Sekolah Menengah Vokasional Dato' Lela Maharaja di sini kepada Kolej Vokasional Dato' Lela Maharaja pada Isnin.
Malah beliau turut berpandangan bahawa kenyataan Perdana Menteri itu sebagai suntikan motivasi kepada warganya sekali gus meningkatkan mutu pendidikan negara.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan menerima prinsip kenaikan pangkat secara "time-based", namun menegaskan bagi guru yang cuai dan lemah dari segi disiplin, kemudahan itu akan dikecualikan.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Fadhlina berkata, projek menaik taraf Sekolah Menengah Vokasional Dato' Lela Maharaja kepada Kolej Vokasional melibatkan kos RM10.4 juta yang menawarkan sembilan program.
Katanya, projek tersebut telah siap sepenuh pada 28 Mei 2022 melibatkan fasiliti bengkel kayu dan rumah Orkid bagi Program Landskap, tractor implementation shade (Program Teknologi Mekanisasi Agro), Pusat Asuhan Ikan (Program Akuakultur), Kandang Lembu Tenusu (Program Agroindustri Ternakan Ruminan) dan Mock Office (Program Pengurusan Perniagaan).
"KPM sentiasa berusaha menambah baik infrastruktur dan kualiti pendidikan vokasional khususnya bidang pertanian dan selari dengan kemajuan teknologi pertanian.
"Kolej Vokasional perlu menjadi peneraju kepada kepakaran pelbagai bidang dalam negara. Hala tuju negara selari dengan reformasi agenda pendidikan negara.
"Saya selalu sebutkan mentaliti terhadap bidang vokasional ini perlu berubah, ia bukan akademik kelas kedua tetapi tetapi pendidikan arus perdana yang perlu difahamkan semua lapisan masyarakat.Infrastruktur kolej vokasional ini penting, kita harus lihat keperluannya dengan perkembangan semasa," katanya.
Beliau berkata, usaha menaiktaraf kolej vokasional dapat mengukuhkan pengiktirafan seperti Malaysian Qualification Agency (MQA) bagi program diploma, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!