Nenek 72 tahun maut tercekik biji rambutan

Seorang wanita warga emas maut akibat tercekik biji rambutan dalam kejadian di Felda Lawin Utara pada Ahad. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Zulkifli
Seorang wanita warga emas maut akibat tercekik biji rambutan dalam kejadian di Felda Lawin Utara pada Ahad. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Zulkifli
A
A
A

GERIK - Seorang wanita warga emas maut akibat tercekik biji rambutan dalam kejadian di Felda Lawin Utara dekat sini pada Ahad.

Mangsa yang berusia 72 tahun sedang makan buah berkenaan ketika berada di beranda hadapan rumahnya sekitar jam 7 petang.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, mangsa tiba-tiba mengalami sesak nafas ketika hendak dibawa masuk ke dalam rumah oleh anak perempuannya berusia 46 tahun.

"Mangsa terus dibawa ke Klinik Kesihatan Lawin dan ketika pemeriksaan terdapat sesuatu terlekat di bahagian kerongkong.

"Setelah berjaya dikeluarkan ia disyaki biji buah rambutan. Mangsa kemudian diberi bantuan pernafasan oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia.

"Siasatan awal dijalankan sebaik menerima makluman kematian itu pada jam 8.30 malam dan mendapati tiada apa-apa unsur jenayah wujud pada tubuh mangsa.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik, Hospital Gerik mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan oleh sesak nafas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!