Aaron-Wooi Yik berdepan pasangan nombor 1 dunia di Paris

Aaron (kanan) dan Wooi Yik akan menentang pasangan dari China dalam aksi Kumpulan A Sukan Olimpik 2024 di Paris akhir bulan ini. Foto Agensi
Aaron (kanan) dan Wooi Yik akan menentang pasangan dari China dalam aksi Kumpulan A Sukan Olimpik 2024 di Paris akhir bulan ini. Foto Agensi
A
A
A

BEREGU utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal berdepan cabaran pasangan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam Kumpulan A, pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Saingan tersebut diputuskan menerusi undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pada Isnin.

Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking kelima dunia memiliki lapan rekod pertemuan dengan Wei Keng-Chang yang menyaksikan enam kemenangan berpihak beregu dari China itu.

Kali terakhir mereka membuat perhitungan adalah di Piala Thomas pada Mei lalu yang menyaksikan Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan 15-21, 21-12, 21-17.

Turut berada dalam kumpulan tersebut ialah Ben Lane-Sean Vendy dari England dan pasangan Kanada, Dong Adam-Nyl Yakura.

Beregu England itu berada di ranking ke-18 dunia dan di atas kertas Aaron-Wooi Yik mempunyai rekod kemenangan 4-1.

Adam-Yakura yang berada di kedudukan ke-32 dunia pula belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik membawa pulang pingat gangsa dalam edisi 2020 di Tokyo empat tahun lalu sebelum merangkul kejuaraan dunia pertama buat negara pada 2022.

Artikel Berkaitan:

Badminton dijadual membuka tirai saingan di Arena Porte de la Chapelle dari 27 Julai hingga 4 Ogos ini.

Berdasarkan format pertandingan dua pasangan teratas dari empat kumpulan akan meraih slot ke suku akhir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!