Dakwaan Azmin salah, tidak profesional - Speaker Selangor

Azmin membangkitkan beberapa isu susulan persidangan DUN Selangor dipendekkan kepada lima hari yang berakhir pada Khamis. Weng San (kiri).
Azmin membangkitkan beberapa isu susulan persidangan DUN Selangor dipendekkan kepada lima hari yang berakhir pada Khamis. Weng San (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa kenyataan dikeluarkan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin terhadap perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor merupakan dakwaan salah dan tidak profesional.

Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, kelaziman Parlimen mengamalkan sistem Westminster menetapkan Speaker tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana perbahasan dan soal jawab dengan dengan ahli dewan.

Bagaimanapun menurutnya, Speaker tidak boleh memandang remeh terhadap sebarang tuduhan liar menuduhnya sebagai tidak adil dan berat sebelah.

"Yang Berhormat ketua pembangkang perlu mengakui kesilapan-kesilapan ini, menarik balik kenyataan-kenyataan yang salah dan memohon maaf. Sila rujuk kepada muka surat 220 Erskine May Parliamentary Practice, 2004," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Khamis lalu, Azmin pada sidang akhbar diadakan ADUN Perikatan Nasional (PN) membangkitkan rasa tidak puas hati apabila Sidang DUN Selangor yang sepatutnya berlangsung selama sepuluh hari bermula 4 hingga 18 Julai dipendekkan kepada lima hari sahaja.

Azmin yang juga ADUN Hulu Kelang turut mempersoalkan langkah kerajaan negeri yang hanya menjawab 27 soalan lisan sehingga kini sedangkan ADUN PN mengemukakan 420 soalan merangkumi 210 soalan lisan dan 210 soalan bertulis.

Selain itu, beliau turut membangkitkan tempoh Perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama dihadkan hanya sekitar 10 minit untuk setiap ADUN PN yang dianggap tergesa-gesa dan membataskan hak untuk berbahas.

Turut dibangkitkan, Exco kerajaan negeri tidak memberi ruang sewajarnya untuk mencelah dalam sesi penggulungan dan lebih cenderung untuk memberi jawapan bertulis selain jawapan daripada pihak kerajaan negeri didakwa meleset dan tidak meyakinkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut melemparkan tuduhan Speaker tidak profesional dan tidak bertindak mengikut Perlembagaan dan undang-undang.

Menjawab dakwaan tersebut Weng San berkata, kenyataan Azmin bahawa ADUN Pembangkang hanya diberi 10 minit untuk Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama ialah kenyataan yang salah.

"Setiap ADUN diberi masa 15 minit, Pengerusi kerajaan negeri (hampir 25 minit), ketua pembangkang (hampir 50 minit) dan ADUN Sijangkang (hampir 25 minit ) untuk membahas usul tersebut.

"Masa yang diperuntukkan kepada setiap ADUN sama ada daripada blok kerajaan negeri atau pembangkang jauh lebih banyak berbanding dengan dua sesi persidangan sebelum ini," katanya.

Selain itu katanya, sebanyak 64 soalan lisan telah dijawab dalam masa lima hari persidangan termasuk soalan-soalan yang dijawab bersama.

Tambah beliau, pecahan soalan yang dijawab antara ADUN kerajaan negeri, pembangkang dan Bebas juga adalah seimbang.

"Soalan ADUN kerajaan negeri yang dijawab: 35 (55 peratus) manakala soalan pembangkang dijawab: 27 (42 peratus), bilangan ADUN Pembangkang: 21 dan soalan ADUN bebas dijawab: 2 (3 peratus).

"Daripada 64 soalan lisan yang dijawab ini, Speaker membenarkan sebanyak 84 soalan tambahan untuk dijawab," katanya.

Menurutnya, ADUN pembangkang juga diberi peluang yang lebih untuk mengemukakan soalan tambahan iaitu 54 peratus berbanding kerajaan negeri sebanyak 45 peratus manakala ADUN Bebas 1 peratus.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan tempoh persidangan dipendekkan bagi memberi laluan kepada tugas Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang perlu mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu ke-266 bermula 17 hingga 18 Julai 2024 serta Majlis Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII pada 20 Julai 2024.

Tambah beliau, walaupun bilangan hari persidangan dipendekkan namun terdapat penambahan masa antara satu hingga dua jam setiap hari.

"Walaupun tiada sebarang rang undang-undang dibentangkan ke sidang DUN kali ini, tetapi masa persidangan tetap dipanjangkan setiap hari persidangan, iaitu penambahan antara satu hingga dua jam setiap hari, menjadikan jumlah amaun masa persidangan dari segi jam waktu jauh melebihi seminggu, " tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!