Esther rangkul gelaran pertama PWBA

Esther Cheah
Esther Cheah
A
A
A

PEMAIN boling wanita negara Esther Cheah merangkul gelaran pertama dalam Siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) apabila memenangi kejohanan wilayah Oklahoma di Amerika Syarikat, Isnin.

Menurut laman web rasmi PWBA, pemain berusia 38 tahun itu menewaskan wakil tuan rumah dan pilihan utama final stepladder Raina Davis 238-216 di Pusat Boling Sooner di Norman.

Esther mara ke final selepas menewaskan Shelby Davis dari LaPorte, Texas, 249-234 dalam saingan separuh akhir.

Dalam saingan kelayakan, Raina muncul pilihan utama dengan jumlah catatan lapan permainan iaitu 1,687 jatuhan pin diikuti Esther (1,637), Brittney Kinney dari Columbia, Indiana (1,593) dan Shelby dengan catatan 1,600 jatuhan pin.

Selaku juara, Esther membawa pulan hadiah wang AS$1,600 (kira-kira RM7,480) dan slot automatik match-play pada PWBA Regional Showdown dari 5 jingga 7 Dis ini di Aloma Bowl in Winter Park, Florida.

Esther, yang bertanding dalam Jelajah PWBA bersama rakan senegara Sin Li Jane gembira dengan kemenangan itu.

"Prestasi tidak begitu baik sepanjang musim tetapi telah meningkat setiap kejohanan. Kemenangan ini membuktikan kepada diri saya bahawa saya semakin baik dan harap dapat meneruskan momentum ini pada Kejohanan Jelajah PWBA Detroit dari 6-13 Ogos," katanya dipetik PWBA.

Li Jane adalah pendahulu untuk anugerah Pemain Terbaik PWBA selepas memenangi gelaran Terbuka PWBA Bowlers Journal Rockford, PWBA Greater Nashville Classic dan Terbuka Wanita Amerika Syarikat musim ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!