Jumlah anak yatim dalam negara meningkat - Peyatim
GOPENG - Kanak-kanak yang menjadi yatim piatu atau kehilangan penjaga semakin meningkat di negara ini, kata Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor.
Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada perkara tersebut adalah disebabkan kematian ibu bapa dalam kemalangan jalan raya serta akibat wabak Covid-19.
Menurutnya, sehingga kini dianggarkan terdapat lebih 300,000 anak yatim di seluruh negara dengan sebahagian besarnya mendapat perlindungan di rumah jagaan dan asrama anak-anak yatim.
"Peningkatan ketara selepas Covid-19. Sebab itu kita di Malaysia ini tidak berkemampuan untuk mengambil anak-anak (yatim) dari negara lain yang sedang bermasalah.
"Pentingnya untuk kita selesaikan dan pastikan kebajikan diberi keutamaan kepada anak-anak yatim dalam negara," katanya kepada pemberita dalam program Semarak Kasih Muharam sempena Hari Anak Yatim 2024 di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim/Miskin Dahikmah di sini pada Isnin.
Program berkenaan dirasmikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Nor Tipah Majin.
Dr Tengku Mahmud berkata, peningkatan itu bagaimanapun tidak menjejaskan kemasukan anak-anak yatim ke rumah-rumah jagaan dan asrama sedia ada.
"Sekarang ini yang berdaftar di bawah Peyatim ada 72 rumah anak yatim, tetapi saya percaya, jumlah yang sama tidak lagi menjadi ahli kita.
"Ada asrama-asrama ini kita dapati kapasiti masih ada, tetapi tidak ada anak (penghuni)," katanya.
Sementara itu, Salbiah memaklumkan, kebajikan anak yatim yang ditempatkan di rumah jagaan akan terus menjadi fokus kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan golongan itu terus terbela.
"Selain turun padang melihat sendiri keperluan mereka, kita juga meluluskan permohonan yang dibuat terutama berkaitan pembangunan infrastruktur.
"Menerusi Belanjawan Negeri, setiap tahun kita menyalurkan RM400,000 bagi menaik taraf infrastruktur rumah anak yatim yang daif di seluruh negeri," katanya.
Program Semarak Kasih Muharam sempena Hari Anak Yatim tahun ini memilih Perak sebagai tuan rumah antara lain bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menyayangi anak-anak yatim serta pentingnya mewujudkan hubungan baik dengan mereka.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!