Pembunuh bersiri mengaku bunuh, kerat 42 wanita
NAIROBI - Polis di Kenya telah menahan seorang suspek pembunuh bersiri berkaitan penemuan mayat wanita yang dikerat di tempat pembuangan sampah di ibu negara Nairobi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lelaki berusia 33 tahun itu ditangkap pada petang Ahad ketika menonton perlawanan akhir Kejohanan Eropah di sebuah pub, kata penyiasat.
Mereka berkata lelaki itu mengaku membunuh 42 wanita. Dia kemudian mengerat mayat mangsa dan memasukkannya ke dalam beg plastik sebelum membuangnya ke dalam bekas kuari di sebuah kawasan kejiranan di Nairobi.
"Kami berdepan dengan seorang psikopat, pembunuh bersiri yang tidak menghormati nyawa manusia," kata ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Mohamed Amin.
Siasatan bermula pada Jumaat lalu selepas bahagian tubuh ditemukan di tempat pembuangan sampah. Menjelang Ahad, polis telah menemukan mayat sembilan wanita, berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun.
Lelaki itu mendakwa bahawa mangsa pertamanya adalah isterinya sendiri, kata Amin.
Dia telah mencekik dan mengerat isterinya dan kemudian melakukan perkara yang sama kepada wanita lain.
Penyiasat menjejaki lelaki itu melalui telefon bimbit mangsa terakhirnya. Dia dilaporkan tinggal hanya 100 meter dari tempat pembuangan sampah berkenaan.
Selain sebilah parang dan beg plastik, barang peribadi mangsa turut ditemukan di rumahnya. Pada masa penahanannya, lelaki itu dilaporkan sudah mencari mangsa seterusnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!