Jumlah hutang bon samurai berkurang kepada RM6.26 bilion pada akhir 2024 - MOF

MOF.
MOF.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah hutang Bon Samurai (yen) berkurang kepada RM6.26 bilion pada akhir Mac 2024, disokong oleh pengukuhan ringgit berbanding yen bermula pada Mac 2022, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu berkata, mengambil kira kadar tukaran RM3.1308 bagi setiap 100 yen, jumlah bayaran faedah Bon Samurai yang dibuat dalam tempoh Mac 2022 sehingga Mac 2024 adalah lebih rendah berbanding tempoh sebelumnya.

"Faedah Bon Samurai dibayar dua kali setahun iaitu pada setiap Mac dan September serta tertakluk kepada kadar tukaran pada hari transaksi.

"Bagi tempoh September 2019 sehingga Mac 2024, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM192.1 juta untuk bayaran faedah," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Isnin.

Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta kementerian itu menyatakan status hutang Bon Samurai sebanyak 200 bilion yen (RM7.3 bilion) yang diterbitkan oleh Malaysia pada 2019, jumlah pembayaran yang dibuat dan masih dihutang serta keuntungan tukaran wang asing atas penurunan nilai mata wang yen.

Kementerian Kewangan juga menegaskan kerajaan akan terus memenuhi obligasi bayaran faedah Bon Samurai sehingga hutang itu matang pada Mac 2029 berserta bayaran hutang prinsipal sebanyak 200 bilion yen pada hari yang sama. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!