Pelancongan negara perlu ikut cara Thailand

Foto hiasan.
Foto hiasan.
A
A
A

NEGARA merekodkan jumlah kemasukan pelancong asing seramai 7,560,642 dari Januari hingga April tahun ini, meningkat 27.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan yang dijana daripada sektor tersebut pula adalah sebanyak RM22.23 bilion, meningkat 66 peratus jika dibandingkan dengan suku pertama 2023.

Bagi negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua di belakang Thailand yang mencatatkan ketibaan pelancong asing tertinggi iaitu seramai 12,127,447, diikuti Vietnam (6,199,331), Singapura (5,709,110) dan Indonesia (4,098,714) untuk tempoh berkenaan.

Jika dilihat daripada angka tersebut, Malaysia agak jauh ketinggalan berbanding Negara Gajah Putih, dan ini menimbulkan persoalan mengapa Thailand mampu menjadi jaguh dan tumpuan pelancong asing.

Umum mengetahui negara berkenaan mempunyai pulau-pulau menarik, budaya unik, kepelbagaian makanan, banyak tempat bersejarah dan kehijauan landskap yang memukau. Jadi tidak hairan jika ia menjadi destinasi pelancongan kelapan paling popular di dunia pada tahun lalu.

Biarpun mata wang Malaysia lebih rendah berbanding Thailand tetapi ia tetap menjadi pilihan pelancong termasuklah dari Malaysia sendiri.

Mungkin ada perkara yang boleh dipelajari dari negara tersebut terutama dari segi pemeliharaan kawasan tarikan pelancongan, lokasi bersejarah dan perkhidmatan pengendali pelancongan.

Berdasarkan maklum balas, kebanyakan pelancong ke negara tersebut berpuas hati dengan setiap perkhidmatan yang diberikan dan berharap dapat kembali ke sana untuk meneroka lebih banyak kawasan menarik.

Artikel Berkaitan:

Bagi pengendali di Malaysia pula setiap kritikan yang diutarakan perlu diambil serius disusuli tindakan segera bagi membaiki kelemahan.

Kementerian Pelancongan juga perlu mencari alternatif menambah tarikan pelancongan kerana kepelbagaian itu merupakan salah satu aspek yang menjadi daya penarik untuk lebih ramai datang ke negara ini.

Begitu juga dalam soal memelihara kawasan hijau dan semula jadi kerana lokasi berkenaan penting bagi sektor pelancongan negara.

Tindakan keras seperti menggantung atau menarik lesen pengendali yang mempunyai rekod buruk juga wajar diambil kerana telah mencemarkan imej negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!