'Demokrasi AS dibina atas keganasan politik'
WASHINGTON - “Tiada tempat untuk keganasan politik dalam demokrasi negara ini.”
Catatan itu dikongsikan Presiden ke-44 Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menerusi platform X pada Ahad merujuk kepada insiden serangan tembakan ke atas penggantinya.
Tetapi, kenyataan itu hanya mengundang kecaman warganet terutamanya dengan istilah 'keganasan politik' yang jelas menunjukkan sisi hipokrasi Washington.
“Meskipun kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, kita patut bersyukur kerana Donald Trump tidak mengalami kecederaan serius. Kita sepatutnya menggunakan detik ini untuk menghormati politik Amerika,” ujar Obama yang menyerahkan tugas di Rumah Putih kepada bilionair hartanah itu pada 2017.
Seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Atra dengan lantang menyindir Washington.
“Oleh sebab itu mereka 'mengeksport' keganasan kepada orang awam tidak berdosa terutamanya di Genting Gaza kerana tiada tempat seperti itu dalam demokrasi AS,” cemuhnya.
Sindiran itu disokong wartawan berpusat di Beijing, Ben Norton yang mendakwa demokrasi Washington hanyalah keganasan politik.
“Kesemua Presiden AS termasuk daripada Parti Demokrat dan Republikan telah melancarkan perang berterusan di Korea, Vietnam, Yugoslavia, Afghanistan, Iraq, Libya, Syria dan Yemen.
“AS telah bunuh jutaan orang. Tetapi, pada mereka nyawa mangsa peperangan tidak penting,” katanya sambil menambah Obama telah menggugurkan kira-kira 26,171 bom pada 2016 manakala tentera AS beroperasi di 800 pangkalan negara asing manakala operasi khas dilancarkan di 138 negara.
Menurutnya, demokrasi AS sebenarnya dibina atas keganasan politik dan ia berlaku sejak dari beberapa dekad lalu hingga kini.
Wartawan bebas berpusat di Britain, Richard Medhurst juga menyelar pendirian AS tentang keganasan.
“Pada mereka, keganasan tidak sepatutnya berlaku di negara sendiri, namun tidak mengapa di negara luar. AS jelas tempat paling ganas di muka bumi ini,” ujarnya menerusi ciapan di platform X.
'PENJENAYAH PERANG LICIK'
Aktivis keamanan berpusat di New York, Margaret Kimberley juga memberi respons yang menyelar kembali Obama.
“Sudah tentu keganasan politik didalangi AS berlaku di tempat lain di seluruh dunia,” jelasnya yang turut menyertakan peta memaparkan campur tangan tentera AS dan Agensi Risikan Pusat (CIA) sejak Perang Dunia Kedua.
Catatan itu disokong Alan MacLeod di Mint Press yang menyarankan orang ramai supaya melihat perbuatan jahat Washington terhadap puluhan pemimpin asing jika AS menganggap insiden cubaan bunuh Trump itu sebagai tindakan ganas.
Peguam di Pakistan, Asad Rahim pula berkata, 'penjenayah perang licik' seperti Obama melihat satu-satunya tempat untuk keganasan politik ialah negara Islam.
“Beliau pernah mengebom Pakistan, Afghanistan, Iraq, Libya, Yemen, Somalia dan Syria pada akhir penggal pentadbirannya sebanyak 26,171 kali,” ujarnya.
Obama seperti pendahulunya dan penggantinya turut terlibat dalam perang Amerika dan kempen pencerobohan ke atas kebanyakan negara di seluruh dunia yang telah meragut ratusan ribu nyawa tidak berdosa.
Presiden kulit hitam pertama itu turut memperluaskan operasi tersebut yang mengakibatkan kemusnahan dan perpecahan terutamanya di Asia Selatan dan Asia Barat.
Menerusi artikel diterbitkan Guardian pada Ogos 2021, Profesor Samuel Myon di Yale University mendedahkan tentang 'empayar dron bersenjata' di bawah tampuk kepimpinan Obama.
“Metamorfosis perang Amerika berjaya dicapai dalam tempoh beberapa bulan pertama pada 2009 selepas beliau mengambil alih Rumah Putih.
“Peguam beliau menuntut kuasa untuk meneruskan peperangan yang menyaksikan kebangkitan 'empayar' di bawah pengawasan Obama yang menjadi simbol lanjutan dan peluasan perang tidak berkesudahan Amerika,” menurutnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!