Sampai bila nak tunggang melulu tak hirau ajal
JIKA tidak digilis, dirempuh. Ada juga yang tercampak atas jalan, terbabas langgar pokok atau maut tersepit di bawah lori.
Itu adalah antara berita kemalangan melibatkan penunggang motosikal yang dilaporkan di dada akhbar hampir setiap hari.
Kematian mengerikan membabitkan penunggang motosikal kebelakangan ini semakin menjadi-jadi.
Jika tidak terbabas sendiri, nahas akan melibatkan kenderaan lain.
Lebih memilukan keadaan apabila mangsa dilenyek lori atau treler.
Tidak pasti sama ada kebanyakan kemalangan ini akibat kecuaian penunggang sendiri atau pihak lain, namun pada akhir cerita selalunya yang menunggang atau membonceng akan ditutup plastik hitam di lokasi kejadian.
Sepanjang hampir 20 tahun memiliki lesen memandu, penulis pernah tiga kali dirempuh oleh motosikal.
Dua kali kereta penulis dirempuh dari belakang manakala sekali di bahagian sisi penumpang hadapan.
Mujurlah tiada apa-apa kecederaan, namun ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan trauma dalam diri penulis.
Kemalangan pertama melibatkan pelajar Tingkatan Dua yang tidak mempunyai lesen memandu.
Dia mendakwa tidak sempat memberhentikan motosikalnya apabila kereta di hadapan penulis membelok ke simpang secara tiba-tiba.
Beberapa tahun lalu pula, kereta penulis dirempuh motosikal yang melanggar lampu merah.
Akibat kejadian itu, penulis diserang anxiety atau kebimbangan melampau selepas melihat penunggang motosikal itu terpelanting di depan mata.
Kejadian ketiga pula berlaku beberapa bulan lalu apabila sebuah motosikal yang keluar simpang terus merempuh kereta penulis. Syukurlah kerana dalam ketiga-tiga insiden itu tiada kemalangan jiwa berlaku.
Meskipun banyak kejadian ngeri dilaporkan malah video-video tular di media sosial, penulis berasakan nahas melibatkan penunggang motosikal bagaikan tidak memberi rasa takut kepada golongan itu.
Lihat saja di jalan raya, segelintir mereka masih melanggar lampu merah, menyelit-nyelit di antara kenderaan berat dan menunggang di laluan kanan lebuh raya sedangkan di sesetengah lokasi ada laluan motosikal.
Bagi penulis, sudah tiba masanya kerajaan memikirkan penyelesaian supaya kejadian tidak diingini melibatkan penunggang motosikal dapat dikurangkan.
Pada Disember tahun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kerajaan sedang mempertimbang untuk memperkenalkan dasar baharu iaitu mewajibkan pembinaan laluan khas penunggang motosikal di lebuh raya.
Menurutnya, kewajipan menyediakan laluan khas itu bagaimanapun hanya melibatkan projek pembinaan lebuh raya baharu.
Pada Jun lalu pula Nanta memaklumkan, kerajaan tiada perancangan untuk membina laluan khas motosikal di lebuh raya yang sedang beroperasi pada masa ini.
Katanya, ia akan membabitkan kos tambahan yang tinggi kepada kerajaan berikutan skop berkenaan tiada dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya.
Namun katanya, pihak kerajaan akan meneliti perkara itu dalam rundingan cadangan projek lebuh raya baharu pada masa akan datang tertakluk kepada beberapa faktor seperti kadar tol dan tempoh konsesi.
Apa pun perancangannya, penulis berharap ada langkah penyelesaian supaya statistik kemalangan maut penunggang motosikal dan pengguna jalan raya lain dapat diturunkan.
Sebelum terlupa, penulis ingin mengajak mereka yang berkemahiran menunggang motosikal dengan perlahan untuk menyertai Pertandingan Motor Siput yang dianjurkan sempena Karnival Rakyat Karangkraf pada 28 Julai ini.
Dianjurkan secara percuma, mereka yang paling lambat sampai ke garisan penamat berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai.
Untuk menyertainya, peserta perlu mendaftar terlebih dahulu dengan mengisi borang penyertaan melalui pautan https://jom.sinar.la/34etb6sd atau hubungi Nell di talian 019-668 0275 untuk keterangan lanjut.
Kepada penunggang, kalau dah biasa tunggang motosikal dengan laju, jom sahut cabaran ini.
Jumpa anda di sana!
* Nur Farhana Abdul Manan ialah Ketua Unit Editor Pengisian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!