11 sekolah berentap pertandingan dikir barat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 11 buah sekolah rendah dan menengah di Selangor bakal berentap dalam pertandingan dikir barat sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 pada 26 Julai ini.

Penolong Pengurus Besar, Komunikasi Korporat KDEB Waste Management (KDEBWM), Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, pertandingan dikir barat bertemakan alam sekitar itu akan berlangsung pada jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari bertempat di Pentas Utama, Kumpulan Karangkraf di sini.

Menurutnya, antara sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pelong, SK Bukit Jalil, Sk Subang Bestari Dua, SK Jalan Kebung, SK Binjai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Megah, SMK Jalan Bukit, SMK Seksyen 10 Kota Damansara, SMK Rantau Panjang, SMK Bandar Baru Sungai Buluh dan Idrissi International School.

“Setiap pasukan wajib menyampaikan persembahan secara berbaris dalam masa selama 15 minit bagi mempersembahkan satu lagu Jogho dan empat jenis karut seperti Karut Yenki (Yenki pendek atau Yenki panjang), Karut Kelantan, Karut Patani atau Karut Matang serta lagu Wau Bulan atau lagu penutup,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Karnival Rakyat Karangkraf yang berlangsung pada 26 hingga 28 Julai ini akan bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam di Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini yang mana penganjurannya adalah bersempena ulang tahun Sinar Harian yang ke-18.

Sementara itu, Mahfuzah berkata, pasukan yang mendapat tempat pertama akan menerima wang tunai RM1,000 dan RM700 untuk tempat kedua serta RM500 bagi kedudukan ketiga.

“Menariknya, hadiah wang tunai turut ditawarkan kepada pasukan yang berjaya di tempat keempat dan kelima di mana masing-masing bakal mendapat RM300,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!