Jual beli besi buruk dulu lain, sekarang lain

Kebanyakan orang ada pengalaman berurusan dalam jual beli besi buruk. Foto hiasan
Kebanyakan orang ada pengalaman berurusan dalam jual beli besi buruk. Foto hiasan
A
A
A

RASANYA kebanyakan orang ada pengalaman berurusan dalam jual beli besi buruk, baik dengan menjual secara terus ke pusat pengumpulan atau kepada pembeli yang datang ke rumah-rumah.

Harga belian juga mungkin sedikit berbeza di setiap pusat pengumpulan ini. Merak Jalanan pernah berurusan dengan mereka yang datang ke rumah untuk membeli besi buruk sama ada warga tempatan mahupun warga asing.

Jika dahulu kerja ini dilakukan oleh orang tempatan tetapi sekarang boleh dikatakan telah dikuasai warga asing tidak kira di bandar atau kampung.

Mungkin orang tempatan tidak lagi gemar menjalankan perniagaan itu menyebabkan berlaku monopoli dalam kalangan warga asing.

Antara persoalan yang timbul adalah bagaimana mereka boleh memiliki motosikal roda tiga atau lori untuk menjalankan pekerjaan tersebut. Bagaimana ia dibenarkan oleh pihak berkuasa?

Selain itu, Merak Jalanan juga perasan cara belian besi buruk oleh warga asing ini selalunya tidak menggunakan penimbang dan mereka cuma menyebut harga dengan melihat jumlah besi.

Ironinya mereka menjual semula ke pusat pengumpulan besi dengan kaedah timbangan yang lebih menguntungkan.

Namun, ada sesetengah daripada mereka ini khususnya warga tempatan membeli dengan cara menimbang kerana mahu meyakinkan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan sendiri lebih memilih untuk ia ditimbang kerana proses jual beli itu lebih jelas dan adil.

Ia juga menjadi salah satu strategi perniagaan dan pemasaran untuk penjual setia dengan si pembeli.

Sebenarnya, kebanjiran dan penglibatan warga asing di negara ini dalam perniagaan sedikit sebanyak telah mengubah cara ia beroperasi.

Sedar atau tidak mereka sedikit demi sedikit menguasai pelbagai sektor yang suatu ketika dahulu dijalankan oleh warga tempatan.

Bukan mahu mencari salah siapa tetapi itulah realiti semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!