Petani putus empat jari, patah tulang rusuk tertembak diri sendiri
KENINGAU - Seorang lelaki nyaris maut selepas tertembak diri sendiri ketika keluar memburu payau di kawasan kebun Kampung Panganitan, Nabawan di sini Ahad lalu.
Petani berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri apabila empat jarinya putus manakala tulang rusuk patah akibat kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada Klinik Kesihatan Nabawan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, lelaki terbabit keluar memburu payau pada jam 4 petang Ahad dengan berjalan kaki dan membawa senapang jenis bakakuk buatan sendiri.
"Lelaki itu ke kawasan yang cuma berjarak kira-kira tiga kilometer dari kawasan kampungnya dengan berjalan kaki selama 30 minit dan dia berjalan sendiri tanpa ditemani oleh sesiapa.
"Ketika menuruni kawasan cerun bukit, dia tergelincir dan picu bakakuk telah terganggu sehingga menyebabkan letupan dan terkena pada tangan kiri dan dadanya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambah beliau lagi, lelaki itu terbaring dalam keadaan kesakitan dan mengikat lengan sebelah kirinya bagi mengelakkan berlalu lebih banyak pendarahan.
"Abang lelaki tersebut risau apabila dia tidak pulang ke rumah sejak keluar berburu dan mengambil keputusan untuk keluar mencarinya di kawasan hutan.
"Lelaki tersebut kemudian ditemui di kawasan hutan dalam keadaan lemah dan dibawa ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Yampil berkata, menurut keterangan lelaki tersebut, senapang yang dibawanya diwariskan oleh neneknya sejak dua tahun lalu untuk tujuan menjaga kawasan kebun mereka daripada serangan babi hutan.
"Sebiji anak peluru masih berada di tulang rusuk dan tiga lagi berada di lengan kiri.
"Setakat ini, keadaan lelaki tersebut stabil tetapi masih ditahan di dalam wad Hospital Keningau untuk pemantauan rapi dan kes disiasat Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!