UMNO Selangor ambil alih proses pemilihan sayap wanita Tanjong Karang

Sulaiman (depan, dua dari kanan) semasa sidang akhbar di Bangunan UMNO Bahagian Tanjong Karang pada Ahad malam.
Sulaiman (depan, dua dari kanan) semasa sidang akhbar di Bangunan UMNO Bahagian Tanjong Karang pada Ahad malam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - UMNO Selangor akan mengambil alih proses pemilihan semula Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang yang digantung sejak 26 Mei tahun lalu.

Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, pemilihan yang diadakan pada 27 Julai ini diharap berjalan lancar dan dalam keadaan terkawal.

"Kita berharap tiada lagi aduan seperti pemilihan sebelumnya dan UMNO Selangor akan menguruskan segala urusan dan perjalanan semasa pemilihan ini berlangsung," katanya semasa sidang akhbar di Bangunan UMNO Bahagian Tanjong Karang pada Ahad malam.

Sulaiman berkata, pihaknya berterima kasih kepada Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dapat mengadakan pemilihan berkenaan.

"Akhirnya hasrat kami (pemilihan semula wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang) sampai juga ke destinasinya bagi melengkapkan sayap wanita bahagian," katanya.

Jelas beliau, pemilihan semula itu diadakan di 'gelanggang' berkecuali di Dewan UMNO Bahagian Kuala Selangor bermula jam 8 pagi.

Menurut beliau, seramai 510 perwakilan wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang pada tahun lalu layak hadir bagi memilih calon yang bertanding dalam pemilihan tersebut.

"Senarai calon juga terdiri dalam kalangan mereka yang bertanding pada pemilihan sayap itu pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Proses pengundian dijangka tamat jam 5 petang dan proses pengiraan undi akan dijalankan selepas itu," katanya.

Jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang pada pemilihan 11 Mac tahun lalu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara penyandang, Datuk Habibah Mohd Yusof yang dicabar Naibnya, Nor Azizah Ahmad.

Dalam pemilihan itu, Nor Azizah mendapat 285 undi menewaskan Habibah yang mendapat 152 undi dengan majoriti 133 undi.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) menghantar surat bahawa mesyuarat perwakilan sayap itu tidak sah kerana ketidakaturan mesyuarat.

MKT pada 26 Mei memutuskan Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang digantung dan pemilihan semula ditangguhkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!