Pertimbang wujudkan peruntukan khas kesalahan buli siber

Azalina
Azalina
A
A
A

PUTRAJAYA - Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang mempertimbangkan cadangan pindaan kepada kanun keseksaan dengan mewujudkan peruntukan yang spesifik dan khas untuk kesalahan buli siber.

Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, di samping memberi tafsiran kepada terma buli siber, cadangan pindaan ini akan mengklasifikasikan perbuatan tersebut sebagai suatu kesalahan secara spesifik.

"Bersama dengan cadangan pindaan kepada kanun keseksaan, BHEUU JPM juga akan meneliti pindaan berbangkit ke Kanun Tatacara Jenayah untuk memastikan peruntukan jenayah buli siber dapat dikuatkuasakan secara efektif," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Menurut beliau, beberapa peruntukan di bawah perundangan sedia ada termasuklah di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563], didapati peruntukan sedia ada ini bersifat umum dan tidak memperuntukkan kesalahan buli siber secara khusus dan nyata.

Oleh yang demikian katanya, unsur-unsur jenayah di bawah peruntukan kesalahan sedia ada menyukarkan penyiasatan dan pendakwaan di samping berkemungkinan menjadi antara penyebab orang ramai mengambil isu buli siber secara ringan, lantas mengakibatkan isu ini terus berleluasa.

"Adalah jelas bahawa terdapat kelompangan undang-undang berkenaan dengan isu ini," ujar Azalina.

Tambah beliau, kerajaan juga sedang memperhalusi dasar bagi cadangan penggubalan suatu rang undang-undang baharu dengan matlamat utama untuk meningkatkan tahap kebertanggungjawaban penyedia perkhidmatan dalam talian mengenai isu-isu keselamatan dalam talian, khususnya kandungan yang memudaratkan yang melibatkan mangsa kanak-kanak termasuklah isu buli siber.

Antara lain, cadangan penggubalan rang undang-undang baharu ini juga akan memberikan kuasa baharu kepada pihak berkuasa untuk melindungi semua pengguna internet khususnya kanak-kanak, melalui kerjasama erat dengan penyedia perkhidmatan dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"BHEUU JPM akan menggariskan parameter, proses kerja dan mekanisme yang jelas kepada penyedia perkhidmatan dalam talian," katanya.

Jelas beliau, satu sesi libat urus yang menyeluruh akan dilaksanakan BHEUU JPM dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital supaya pandangan serta maklum balas semua pihak berkepentingan diambil kira.

"Ini bagi memastikan semua cadangan pindaan yang dilaksanakan kelak adalah berkesan dan memenuhi keperluan negara.

"Usaha reformasi undang-undang ini menggambarkan iltizam kerajaan untuk menangani isu ini demi kemaslahatan rakyat," katanya.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan insiden kematian pempengaruh media sosial, Rajeswary Appahu atau dikenali sebagai Esha.

Dia ditemui meninggal dunia sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan seksual diterimanya di media sosial daripada dua individu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!