Nelayan ditahan simpan petrol berlebihan tanpa kebenaran

Antara minyak petrol yang dirampas. Foto KPDN Terengganu
Antara minyak petrol yang dirampas. Foto KPDN Terengganu
A
A
A

KEMAMAN - Tindakan nelayan menyimpan minyak petrol tanpa permit yang sah di Kuala Kemaman di sini, membawa padah apabila perbuatan itu berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya merampas kira-kira 64 tong plastik berisi petrol melibatkan lebih kurang 1,920 liter dengan anggaran nilai keseluruhan RM3,168.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan di sebuah premis yang dipercayai dijadikan stor simpanan bahan api tersebut di Kuala Kemaman itu telah dilakukan empat pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Kemaman pada kira-kira jam 1 tengah hari.

"Ia merupakan hasil maklumat yang diterima daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu.

"Hasil maklumat awal yang diperoleh, petrol ini dipercayai dibeli dari stesen minyak berhampiran dengan menggunakan kad pengenalan beberapa nelayan dan kemudian petrol tersebut disimpan sementara di premis kejadian sebelum digunakan oleh bot-bot nelayan.

"Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati stor simpanan tersebut tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak petrol," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Penguat kuasa KPDN Cawangan Kemaman melalukan serbuan di sebuah premis yang dipercayai dijadikan stor simpanan petrol. Foto KPDN Terengganu
Penguat kuasa KPDN Cawangan Kemaman melalukan serbuan di sebuah premis yang dipercayai dijadikan stor simpanan petrol. Foto KPDN Terengganu

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, seorang nelayan lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an telah ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Justeru, Saharuddin berkata, KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua pihak berkaitan selain menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

"Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutama berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram tersebut.

"KPDN juga sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasa di lapangan serta mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!