Tonik kejuaraan Asia buat Isaac

Isaac (tiga dari kiri) dan Sze Hui (tiga dari kanan) meraikan kejayaan pada Piala Triatlon Remaja Asia 2024 di Kampar, Perak.
Isaac (tiga dari kiri) dan Sze Hui (tiga dari kanan) meraikan kejayaan pada Piala Triatlon Remaja Asia 2024 di Kampar, Perak.
A
A
A

ISAAC Tan dan Teo Sze Hui dinobatkan juara Kategori Remaja Lelaki dan Wanita Kebangsaan selepas masing-masing muncul pelumba terpantas negara pada Piala Remaja Triathlon Asia 2024 di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak.

Persatuan Triathlon Malaysia telah melangsungkan Kejohanan Remaja Kebangsaan dan Kejohanan Bawah 15 tahun kebangsaan secara serentak.

Isaac dan Sze Hui mengibarkan cabaran dalam perlumbaan remaja lelaki dan remaja wanita yang menampilkan barisan atlet remaja elit terbaik Asia yang berusia antara 16 hingga 19 tahun.

Isaac, 19, berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok 20 terbaik dengan menduduki tempat ke-19 daripada 72 peserta bertanding.

Dia melengkapkan saingan yang menggabungkan rutin berenang 750 meter, berbasikal 20 kilometer (km) dan berlari 5km dengan catatan 1 jam 55 saat.

Gelaran juara menjadi milik Wong Ka Ho dari Hong Kong dengan masa 58:48.13 saat (s) mengatasi pencabar terdekatnya Kuanysh Bekenov dari Kazakhstan (59:01s).

Anson Wong melengkapkan hari gemilang untuk Hong Kong dengan melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga selepas merekodkan 59:15s.

Dalam aksi wanita yang tidak kurang hebatnya, Sze Hui meraih kedudukan 10 terbaik selepas menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dengan catatan 1:11:53s.

Artikel Berkaitan:

Jaguh Filipina Kira Ellis berada pada kelas tersendiri muncul juara dengan jurang lebih dua minit apabila merekodkan 1:05:32s diikuti wakil Korea Selatan Park Seo-eun (1:07:42s) dan Diana Biktimirova dari Uzbekistan (1:07:45s).

Walaupun merasakan mampu melakukan dengan lebih baik, Isaac tetap berasa gembira apabila berjaya mengekalkan statusnya selaku pelumba terbaik negara.

“Ini merupakan kejuaraan remaja sulung untuk saya dan gelaran kebangsaan ketiga secara keseluruhannya. Sebelum ini saya menjadi juara kebangsaan di Kota Kinabalu tahun lalu dan Putrajaya pada Februari ini (diadakan sempena dua pusingan sirkit Piala Triathlon Asia).

“Aksi kali ini tidak begitu ideal kerana saya masih cuba menyesuaikan diri dengan program latihan yang telah diatur baru-baru ini. Saya sedang membuat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Asia di Arab Saudi pada Disember ini, mudah-mudahan prestasi saya akan dapat ditingkatkan dalam beberapa bulan akan datang,” kata Isaac.

Bagi Sze Hui pula, dia berpuas hati apabila kembali dengan rentak kemenangan selepas ditimpa kecederaan yang menyaksikannya berehat enam bulan.

“Semestinya amat gembira. Ini merupakan perlumbaan kompetitif pertama dalam enam bulan selepas terlibat dalam kemalangan ketika berbasikal dan retak tulang.

“Keputusan ini pasti penting kerana saya berhasrat untuk mewakili negara pada Sukan SEA tahun depan. Saya akan cuba bersaing menempatkan diri sebagai antara pelumba terbaik, ada beberapa lagi atlet senior yang saya perlu atasi. Disebabkan had umur, segelintir mereka tidak dapat bersaing kali ini,” katanya.

Ka Ho dan Kira masing-masing ingin menjadikan kejayaan mereka pada peringkat ini sebagai batu loncatan kepada impian mereka untuk layak ke temasya Olimpik 2028 di Los Angeles.

Sementara itu, Ka Ho berkata: “Saingan semasa ahli pasukan kebangsaan Hong Kong ketika ini adalah cukup sengit kerana masing-masing ingin mengejar impian ke Olimpik.

“Kami ada wakil layak untuk kali kedua-dua berturut-turut di Paris, selepas Tokyo 2020, jadi pembangunan sukan triathlon kini rancak dilaksanakan.”

Dalam pada itu, Kira berkata: “Sebagai seorang atlet triathlon, saya percaya semua atlet memasang impian untuk ke Olimpik dan saya tidak terkecuali.

“Jadi matlamat besar saya kini adalah untuk cuba menjadi atlet triathlon wanita pertama dari Filipina untuk layak ke temasya terbesar dunia itu. Saya berharap dapat mencapai impian ini dengan beraksi di LA 2028.”

Sementara itu, gelaran juara Bawah 15 Lelaki dan Wanita Kebangsaan milik Ng Han Yang dan Emily Chen apabila masing-masing muncul pelumba terbaik dalam perlumbaan jarak singkat yang menguji kepantasan membabitkan renang 375 meter, berbasikal 10km dan berlari 2.5km.

Han Yang mencatat 35:02s untuk menduduki tempat ke-12, hampir tiga minit di belakang juara dari Kazakhstan Ramazan Ainegov (32:06s).

Emily pula merebut tempat ke-10 selepas melakukan 40:55s dalam saingan wanita yang menyaksikan kehebatan atlet Jepun Yukiho Okuma dengan catatan 36:53s.

Turut dianjurkan perlumbaan triathlon Kumpulan Usia Terbuka serta larian santai 5km 'Glow Night', sekali gus menyaksikan jumlah penyertaan untuk kedua-dua hari mencecah lebih daripada 1,000 orang.

Acara kali ini adalah dianjurkan bersama Persatuan Triathlon Perak dan XS Elite Performance, dengan sokongan Kerajaan Negeri Perak, Majlis Perbandaran Kampar, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

KEPUTUSAN

Remaja Lelaki

1. Wong Ka Ho (Hong Kong) 58:48s

2. Kuanysh Bekenov (Kazakhstan) 59:01s

3. Anson Wong (Hong Kong ) 59:15s

Malaysia:

19.Isaac Tan 1:00:55s,

25.Yap Qi Yi 1:01:37s

32.Nicholas Long 1:03:26s

Remaja Wanita

1. Kira Ellis (Filipina) 1:05:32s

2. Park Seo-eun (Korea Selatan) 1:07:42s

3. Diana Biktimirova (Uzbekistan) 1:07:45s

Malaysia:

9.Teo Sze Hui 1:11:53s

14.Kelly Long 1:14:58s

15.Koh Pao Yee 1:15:12s

Lelaki B-15

1. Ramazan Ainegov (Kazakhstan) 32:06s

2. Artyom Bedrin (Kazakhstan) 32:24s

3. Kang Woo-hyeon (Korea Selatan) 32:58s

Malaysia:

12.Ng Han Yang 35:02s

15. Wong Jun You 35:54s

18. Thye Ju Quan 36:37s

Wanita B-15

1. Yukiho Okuma (Jepun) 36:53s

2. Wong Lok Tung (Hong Kong) 37:42s

3. Alexandra Sharayeva (Kazakhstan) 37:47s

Malaysia:

10.Emily Chen 40:55s

11. Shayathiri Ratnam 40:57s

14. Nurfatiha Ritta Kuhlkamp 44:02s

Pasukan Campuran Berganti-ganti

1. Team 1 Philippines 1:27:51s

2. Team 2 Hong Kong 1:29:33s

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!