KEDA peruntuk RM3.37 juta tahun ini bagi keterjaminan makanan

KEDA memperuntukkan RM3.37 juta pada tahun ini bagi memastikan keterjaminan makanan negara. Gambar hiasan
KEDA memperuntukkan RM3.37 juta pada tahun ini bagi memastikan keterjaminan makanan negara. Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan RM3.37 juta pada tahun ini bagi memastikan keterjaminan makanan negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.12 juta diperuntukkan bagi Projek Pertanian Petani Luar Bandar (PPLB), manakala RM1.25 juta untuk projek pembangunan sawah.

Beliau berkata, projek PPLB melibatkan 115 usahawan tani dengan keluasan 71 hektar kawasan pertanian untuk membantu mereka menambah pendapatan, selain meningkatkan pengeluaran makanan dan mengurangkan import.

"Melalui PPLB, KEDA membantu peserta dengan memberikan input pertanian, peralatan, mesin pertanian dan industri asas tani ... kita juga membaik pulih dan menaik taraf tanah terbiar serta memberi latihan, kursus, promosi dan lain-lain," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KEDA di sini pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Pengerusi KEDA, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff.

Rubiah berkata, bagi projek pembangunan sawah pula sebanyak 50 hektar tanah sawah akan dipulihkan selain membaiki jalan sepanjang 5 kilometer (km), sistem perparitan serta 7.5 km jalan pertanian.

Ketika ini katanya, terdapat kira-kira 2,654 hektar tanah terbiar di Kedah yang tidak dimajukan dan dianggarkan sebanyak 2,000 hektar atau 85 peratus tanah terbiar adalah di dalam wilayah KEDA.

"Objektif program pemulihan tanah terbiar di Kedah adalah untuk membantu petani dan pesawah mengoptimumkan penggunaan tanah dalam menyokong program keterjaminan makanan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain padi, peserta turut menanam nanas, durian, cili dan buah-buahan bernilai tinggi di tanah berkenaan.

Menurut rekod, sejak 2014 hingga tahun lepas, KEDA telah mengusahakan 1,154 hektar tanah terbiar dan sebanyak 1,772 peserta menerima manfaat peningkatan ekonomi.

"Pada masa ini, kita terus memberi khidmat dalam bentuk sosial ekonomi kepada masyarakat luar bandar, kita mesti ada objektif yang perlu dilengkapi KPI (petunjuk prestasi utama) dan perolehan hasil daripada program kita laksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Rubiah berkata, KEDA turut terlibat dalam membantu untuk memastikan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030 dapat dilaksanakan di kawasan operasinya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!